Hasil tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Agensi Berita Kyodo terhadap rakyat Jepun menunjukkan bahawa 60% responden berpendapat perlembagaan yang sedia ada di negara itu patut dikekalkan. Angka ini kira-kira dua kali ganda berbanding mereka yang menyokong pemindaan perlembagaan tersebut.
Persediaan untuk meminda perlembagaan telah pun dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini bermula dengan tindakan Perdana Menteri, Shinzo Abe meminda takrifan perlembagaan untuk membatalkan larangan pelaksanaan hak pertahanan diri kolektif. Namun begitu, jumlah rakyat yang menyokong perlembagaan yang sedia ada dikekalkan semakin ramai.
Menurut tinjauan pendapat tersebut, 88% rakyat Jepun menganggap ciri perlembagaan sekarang yang "menolak peperangan dan menjunjung pasifisme" patut dipuji. Kesedaran rakyat Jepun tentang betapa pentingnya perlembagaan tersebut, serta kedamaian semakin meningkat, manakala semangat pasifisme telah berakar umbi dalam sanubari mereka.
Abe dalam ucapan yang disampaikan sempena ulang tahun ke-70 berakhirnya Perang Dunia II menyatakan bahawa pihaknya akan betul-betul merenung kembali sejarah, tetapi ini tidak bermakna beliau akan membuat permohonan maaf. Perbuatan tersebut nyata tidak sejajar dengan hasrat rakyat. Menurut tinjauan pendapat Agensi Berita Kyodo itu, 67% responden berpendapat Abe perlu meminta maaf atas sejarah penjajahan dan pencerobohan alam ucapan tersebut.
Berhubung dasar luar Jepun pada masa depan, 42% responden berharap hubungan dengan negara-negara Asia dapat dibaiki. Angka tersebut hanya mencatat 22% pada tahun 1994.
Dalam pada itu, generasi muda Jepun kebanyakannya pesimistik terhadap masa depan Jepun. 57% pemuda berumur antara 20 hingga 30 tahun berpendapat negara itu akan ke masa depan yang "buruk".