Setiausaha Luar Britain, Philip Hammond, yang mengetuai satu delegasi ke Iran menyaksikan upacara pembukaan semula pejabat kedutaan negara itu di Tehran semalam selepas ditutup empat tahun lalu.
Sehubungan dengan itu, Iran juga membuka semula kedutaannya di London.
Kedutaan Britain di Iran ditutup pada November 2011 selepas pejabat itu diserang oleh para penunjuk perasaan bagi membantah sekatan yang dikenakan Britain ke atas Iran.
Berdasarkan lawatan tersebut, Hammond merupakan Setiausaha Luar Britain yang pertama melawat ke negara itu sejak 2003.
Lawatan itu dilakukan beberapa minggu selepas Iran mencapai satu perjanjian dengan enam kuasa besar dunia berhubung dengan sekatan program nuklear Tehran.