Akhbar Renminribao hari ini menyiarkan rencana oleh Menteri Luar China, Wang Yi yang bertajuk "Ambil Iktibar Perang Dunia II, Bina Hubungan Antarabangsa Baharu yang Berteraskan Kerjasama dan Menang-menang".
Menurut rencana tersebut, tahun ini yang merupakan ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, wajar diperingati dan disambut oleh seluruh dunia.
Perang Dunia II yang dicetuskan oleh militaris Jepun dan Fasis Jerman adalah masa yang paling gelap dan menyengsarakan dalam sejarah manusia. Perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun merupakan perjuangan paling awal, berlarutan paling lama dan mengakibatkan pengorbanan paling buruk, maka dianggap sebagai sebahagian yang amat penting dalam perang anti-Fasis dunia. Perjuangan China tersebut berjaya mematahkan kemaraan penceroboh Jepun, sekali gus memberikan sumbangan yang besar yang membawa kepada kemenangan Perang Dunia II.
Dalam perjuangan menentang militaris Jepun dan Fasis Jerman, rakyat China dan Kesatuan Soviet bahu-membahu bertempur bermati-matian. Persahabatan yang lahir daripada perjuangan bersama itu meletakkan asas yang kukuh kepada hubungan China-Rusia yang kian rapat.
Bersempena dengan ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, China dan Rusia mengadakan siri aktiviti sambutan dan peringatan bersama. Presiden China, Xi Jinping menghadiri upacara memperingati ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Patriotik Soviet yang diadakan di Moscow pada 9 Mei lalu. Kedua-dua negara ini menyeru dunia agar terus memelihara hasil daripada kemenangan Perang Dunia II, serta keadilan dan kesaksamaan antarabangsa. Dalam pada itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin pula akan menghadiri aktiviti memperingati Ulang Tahun ke-70 Kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia yang akan diadakan di Beijing pada 3 September nanti.
Dalam tempoh 70 tahun selepas Perang Dunia II, situasi dunia mengalami perubahan yang besar. Namun, meskipun keamanan dan pembangunan telah menjadi tema utama era ini, keamanan sebenar masih lagi belum diwujudkan. Selaku pemenang Perang Dunia II, negara pengasas PBB dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC), China dan Rusia merupakan tunjang dalam usaha menggalakkan proses kepelbagaian pola di dunia. Kedua-dua negara ini berpeluang memanfaatkan sambutan bersama ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Dunia II dan penubuhan PBB ini untuk terus merapatkan kerjasama dan hubungan di arena antarabangsa.
China akan tetap mempertahankan dasar dan prinsip dalam Piagam PBB, serta piawaian asas hubungan antarabangsa, berusaha mewujudkan hubungan antarabangsa baharu yang berteraskan kerjasama yang saling menguntungkan, serta berkongsi peluang dengan seluruh dunia, demi kemakmuran bersama.