Menurut pengumuman terkini pihak berkuasa China, setakat ini perwakilan dari 49 negara telah mengesahkan akan menghadiri aktiviti sambutan memperingati ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia yang akan diadakan di Beijing pada 3 September nanti. Yang bakal menyerikan acara tersebut, 30 pemimpin negara dan ketua kerajaan, 19 wakil kanan kerajaan, serta 10 ketua pertubuhan antarabangsa dan serantau. Selain itu, lebih 1000 orang wakil dari negara luar, termasuk 17 pasukan tentera negara asing akan menyertai perbarisan tentera. Sekarang, kerja persiapan bagi aktiviti sambutan berkenaan sudah selesai.
Naib Menteri Luar China, Zhang Ming menyatakan dalam sebuah sidang akhbar bahawa antara tetamu yang telah mengesahkan kehadiran mereka ke aktiviti tersebut termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Korea Selaran, Park Geun-hye; Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma; Raja Kemboja, Norodom Sihamoni; Presiden Laos, Choummaly Sayasone; Presiden Myanmar, U Thein Sein; Presiden Vietnam, Trương Tấn Sang; Naib Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwo; Utusan Khas kerajaan Malaysia, Tan Sri Ong Ka Ting; serta Utusan Khas merangkap bekas Perdana Menteri Singapura, Wong Kan Seng.
Selain itu, China turut mengundang sahabat-sahabat dari seluruh dunia yang pernah membuat pengorbanan dan memberi sumbangan demi kemenangan perang menentang pencerobohan Jepun. Lebih 100 tokoh antarabangsa atau wakil keluarga mereka akan menghadiri aktiviti tersebut. Zhang Ming berkata, tujuan China mengundang mereka untuk bersama-sama memperingati hari yang bersejarah itu adalah untuk mengingat sejarah dan menghargai kedamaian. Beliau menegaskan,
"Tetamu yang bakal menghadiri acara sambutan nanti mewakili pelbagai negara dan pertubuhan di dunia. Ini menunjukkan bahawa hasrat untuk memperingati sejarah dan mempertahankan kedamaian dikongsi bersama oleh China dan seluruh dunia."
Naib Pengarah Pejabat Perbarisan Tentera, Qu Rui menyatakan, setakat ini 11 negara termasuk Rusia, Cuba, Mesir, Mexico, Mongolia, dan Pakistan akan menghantar pasukan untuk menyertai perbarisan tersebut.