Cari:
China, Tempat Bermulanya Perang Dunia II
2015-08-28 16:34:38 CRI Cetak

Bilakah bermulanya Perang Dunia II? Meskipun tarikh yang tepat sukar dipastikan, namun jawapan kepada soalan tersebut boleh diperoleh sekiranya dilihat dari perjuangan rakyat China yang bertumpah darah menentang pencerobohan Jepun. Para sejarawan dari seluruh dunia termasuk Ketua Setiausaha Kongres Sains Sejarah Antarabangsa (ICHS), Robert Frank telah membuktikan melalui kajian bahawa Perang Dunia II sebenarnya bermula dari China.

Tentera Nazi Jerman menyerang Poland pada 1 September 1939. Sesetengah sarjana berpendapat peristiwa ini menandakan tercetusnya Perang Dunia II. Namun, 70 tahun selepas perang itu, para sejarawan telah menyedari sumbangan China dalam perang menentang penceroboh, dan mula menilai semula tarikh bermulanya Perang Dunia II. Sesetengah sarjana berpendapat bahawa Perang Dunia II bermula di Asia, dan Perang Anti-Fasis Dunia bermula dari perang rakyat China menentang pencerobohan Jepun.

Dalam Sidang ICHS ke-22 yang diadakan di bandar Jinan, China baru-baru ini, karya sarjana terkenal Robert Frank "1937-1947: Perang Dunia" menarik perhatian ramai.

Frank dalam karyanya tersebut menulis: "Pada Julai 1937, Jepun menyerang China, menandakan bermulanya perang dunia di Asia. Ini berlaku dua tahun lebih awal daripada perang di Eropah."

Pada tahun 2013, Profesor Rana Mitter dari Universiti Oxford menerbitkan buku berjudul "Rakan Sekutu yang Dilupai: Perang Dunia II di China 1937-1945". Buku itu menjadi tumpuan media utama Eropah dan Amerika Syarikat (AS), dan menjadi salah satu buku terpopular bagi tahun berkenaan. Pandangan Prof. Mitter bahawa "China merupakan negara pertama diserang Kuasa Paksi, iaitu dua tahun sebelum Britain dan Perancis, dan empat tahun sebelum AS" telah diterima umum.

Dengan memikirkan semula titik permulaan Perang Dunia II, pengorbanan dan sumbangan besar rakyat China dalam Perang Anti-Fasis Dunia dapat dinilai semula.

Prof. Mitter dalam bukunya menyatakan bahawa kita harus sentiasa ingat bahawa China bergelut menentang pencerobohan Fasis sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an. Perjuangan negara ini bukan saja dilakukan demi maruah dan nyawa sendiri, tetapi juga untuk kemenangan negara-negara sekutunya di Timur dan Barat, bahkan seluruh dunia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China