Pada 70 tahun yang lalu, rakyat Asia termasuk China mengalami kesengsaraan yang teruk di bawah penindasan kejam militaris Jepun. Pencerobohan itu dikritik oleh rakyat Jepun yang mencintai keamanan, yang turut menggesa negara mereka mencermin diri dengan ikhlas.
Perang rakyat China tersebut merupakan perang bangsa Cina pertama bagi menentang pencerobohan kuasa luar yang berakhir dengan kemenangan menyeluruh, dan juga titik permulaan baharu bagi bangsa Cina untuk bangkit semula. Sehubungan dengan itu, sarjana Jepun mengiktiraf pentingnya kemenangan perang tersebut terhadap bangsa Cina. Profesor Emeritus Takashi Kamakura dari Universiti Saitama berkata, perjuangan rakyat China untuk menentang pencerobohan imperialis dan merealisasikan pembebasan bangsa, amat signifikan.
Kemenangan perang berkenaan hasil gembleng tenaga seluruh bangsa Cina. Parti Komunis China (PKC), selaku pelindung kepentingan asas rakyat, menjadi tulang belakang dalam perang antipencerobohan.
Pengulas politik Jepun, Jiro Benzer yang juga Profesor Pelawat Universiti Wuhan berpendapat bahawa China, sebagai medan perang utama di Timur, telah memberi sumbangan besar untuk membebaskan rakyat Asia daripada kancah perang dan mendatangkan kemenangan Perang Anti-Fasis Dunia.
Aktiviti memperingati kemenangan perang tersebut bertujuan menyemarakkan semangat mencintai keamanan dan mempertahankan keamanan yang dibayar dengan pertumpahan darah. China dan masyarakat antarabangsa termasuk Jepun perlu bersama-sama meneliti pengajaran perit yang ditinggalkan oleh perang demi keamanan berkekalan.