Perhimpunan Memperingati Ulang Tahun ke-70 Kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Dunia II di Beijing
Perhimpunan memperingati ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia dirasmikan di Dataran Tian'anmen, Beijing pagi tadi.
Sebanyak 70 das bedilan meriam dilepaskan bagi menandakan bermulanya upacara berkenaan.
Presiden China, Xi Jinping, ketika menyampaikan ucapan dalam perhimpunan itu berkata, hari ini merupakan hari yang perlu diingati oleh rakyat seluruh dunia. Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia merupakan perang antara keadilan dengan kejahatan.
Menurut beliau, kemenangan rakyat menghancurkan militerisme Jepun untuk menjajah China dan kejayaan membersihkan penghinaan terhadap bangsa China daripada pencerobohan anasir luar telah mendapat penghormatan daripada rakyat seluruh dunia.
Tambah beliau lagi, China telah menjadi medan utama dalam perang anti-Fasis di dunia timur dan melakukan pengorbanan yang besar.
Perhimpunan ini akan memberikan peluang kepada rakyat China dan dunia untuk bersama-sama memperingati kemenangan Perang Dunia II (WWII), mempertahankan kemenangan peperangan tersebut demi keamanan dunia dan memastikan tragedi kekejaman pencerobohan Fasis dan militeris itu tidak akan berulang lagi.
Pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa bersama-sama dengan rakyat China meraikan upacara memperingati kemenangan perang tersebut.