Cari:
China, Dunia Perjuangkan Keamanan Abadi
2015-09-03 16:52:53 CRI Cetak

Aktiviti memperingati ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia diadakan di Lapangan Tian'anmen, Beijing pada pagi tadi.

Presiden China, Xi Jinping dalam ucapannya pada acara itu berkata bahawa rakyat China yang berjuang bermati-matian berjaya menewaskan penceroboh militaris Jepun, dan dengan itu melindungi peradaban bangsa Cina yang bersejarah lebih 5,000 tahun, serta mempertahankan perjuangan manusia untuk mewujudkan keamanan berkekalan.

Kemenangan tersebut turut menggagalkan niat militaris Jepun untuk menjajah dan menghambakan China, sekali gus menamatkan sejarah hitam bangsa Cina yang dicerobohi kuasa asing. Acara pada hari ini diadakan dengan tujuan untuk mengenangi sejarah, memperingati pahlawan yang terkorban dan menyemarakkan semangat mencintai keamanan.

Dengan bunyi loceng dan dentuman tembakan hormat 70 das tepat pada pukul 10 pagi, acara tersebut dibuka tirai, diikuti upacara menaikkan bendera kebangsaan yang diiringi lagu kebangsaan.

Pada 2 September 1945, Jepun menandatangani surat menyerah kalah yang menandakan kekalahan militaris negara itu dan kemenangan muktamad Perang Anti-Fasis Dunia. Sebagai medan perang utama di Timur, China telah membuat pengorbanan besar demi kemenangan tersebut, dengan jumlah kematian dan kecederaan melebihi 35 juta dan kerugian ekonomi sebanyak USD 100 bilion. Pada tahun lalu, tarikh 3 September ditetapkan oleh kerajaan China sebagai Hari Memperingati Kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun.

Dalam ucapannya, Presiden Xi menyatakan bahawa perang bagaikan cermin yang membolehkan manusia mengetahui betapa pentingnya kedamaian. Seluruh umat manusia perlu mengambil iktibar daripada sejarah dan membaktikan diri untuk kedamaian. Kata beliau, "Demi keamanan berkekalan, kita perlu memupuk kesedaran untuk membentuk komuniti global yang berkongsi masa depan. Prejudis, diskriminasi, dendam dan perang hanya mendatangkan kesengsaraan dan kepahitan, manakala saling menghormati, sama rata, pembangunan secara damai dan kemakmuran bersama barulah haluan yang tepat. Semua negara harus berganding bahu mempertahankan order dan sistem antarabangsa yang berteraskan Piagam PBB, dan mewujudkan hubungan antarabangsa model baharu yang berorientasikan kerjasama saling menguntungkan."

Tegas Presiden Xi, China akan mengekalkan laluan pembangunan secara damai. Kata beliau, "Rakyat China mencintai keamanan. Walau berapa kuat sekalipun, China tidak akan mengejar hegemoni dan peluasan kuasa. China tidak akan membawa kesengsaraan yang pernah dialami sendiri kepada mana-mana bangsa lain. Rakyat China akan mengekalkan persahabatan dengan rakyat negara-negara lain, dan komited memberikan sumbangan yang lebih besar kepada umat manusia. China juga akan mengurangkan jumlah anggota tentera sebanyak 300 ribu orang."

Perbarisan tentera yang melibatkan lebih 10 ribu anggota tentera diadakan bersempena dengan acara hari ini, turut disertai pasukan tentera dari 17 negara asing termasuk Rusia, Mesir, Laos dan Kemboja.

70 ribu belon dan 70 ribu ekor merpati lambang keamanan yang dilepaskan pada akhir acara tersebut, mengeluarkan isyarat positif kepada dunia bahawa rakyat China dan dunia bersama-sama memperjuangkan keamanan abadi.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China