Dalam ucapan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia di Beijing semalam, Presiden Xi Jinping mengumumkan bahawa China akan mengurangkan jumlah anggota tentera sebanyak 300 ribu orang. Sehubungan dengan itu, jurucakap Kementerian Pertahanan China, Yang Yujun berkata, pengurangan anggota tentera ini terutamanya melibatkan pasukan dengan kelengkapan lama dan anggota bukan penempur, bagi mengoptimumkan struktur pasukan tentera. Tindakan yang dilakukan secara berperingkat hingga akhir tahun 2017 ini akan mengurangkan jumlah anggota tentera China kepada dua juta orang.
Jelas jurucakap itu, pengurangan anggota tentera yang diumumkan Presiden Xi semalam memperlihatkan keikhlasan dan hasrat China untuk bekerjasama dengan semua negara bagi mempertahankan kedamaian serta mewujudkan pembangunan dan kemakmuran bersama. Beliau berkata, "Tindakan ini sesuai dengan keadaan negara dan pembangunan tentera China. Melalui tindakan tersebut, struktur pasukan tentera boleh dioptimumkan, sekali gus menjadikan sistem ketenteraan China lebih cekap, saintifik dan moden."
Tambah Yang Yujun, sebagai sebuah negara membangun yang besar, China tetap berdepan dengan ancaman keselamatan yang rumit, dan memikul tugas berat untuk menjaga kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan pembangunannya. Dalam pada itu, pasukan tentera China juga mempunyai tanggungjawab lain seperti bantuan bencana, misi pengaman antarabangsa serta usaha memerangi kumpulan pengganas, pemisah dan pelampau. Beliau berkata, "Jumlah anggota tentera China perlu dikekalkan pada tahap tertentu bagi tujuan pertahanan. China tidak akan mengejar hegemoni dan peluasan kuasa. Penyebaran teori 'ancaman China' oleh sesetengah negara, yang bertentangan dengan fakta, merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab."
Ketika ditanya sama ada wujudnya risiko mengurangkan anggota tentera semasa situasi keselamatan di sekitar China masih kompleks, Yang Yujun menyatakan bahawa tindakan tersebut boleh membantu menumpukan sumber untuk mempercepat pembangunan teknologi maklumat dan meningkatkan kualiti pembangunan tentera. China mampu menangani pelbagai ancaman keselamatan bagi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan pembangunannya.