Cari:
Ucaptama Presiden Xi Dapat Pujian
2015-09-07 17:43:53 CRI Cetak

Ucaptama yang disampaikan Presiden China, Xi Jinping, dalam upacara memperingati ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia pada 3 September lalu, mendapat pujian tokoh-tokoh pelbagai negara.

Mereka menyifatkan ucaptama itu sebagai komitmen rakyat China untuk memelihara keamanan dunia dan menggalakkan pembangunan bersama.

Ketua Pengarah Institut Pembangunan Serantau, Universiti Almaty Kazakhstan, Valikhan Tuleshov dalam satu temu ramah berkata, seruan Presiden Xi supaya seluruh umat manusia mengambil iktibar daripada sejarah dan menghargai keamanan serta membentuk hubungan antarabangsa model baharu, mencerminkan China komited mengamalkan dasar luar yang damai.

Marsyal Tentera Darat Sri Lanka yang juga pemimpin Parti Demokratik, Sarath Fonseka berkata, upacara memperingati kemenangan perang berkenaan yang diadakan oleh China memberikan peluang kepada seluruh dunia untuk mengenang sejarah dan menyemarakkan semangat mencintai keamanan.

Pengurangan anggota tentera sebanyak 300 ribu orang yang diumumkan Presiden Xi mengeluarkan isyarat yang jelas bahawa China tidak akan mengejar hegemoni dan peluasan kuasa.

Pensyarah dari Universiti Shizuoka Jepun, Sen Masataka berkata, kebanyakan rakyat di dunia mempunyai kebijaksanaan untuk belajar daripada sejarah. Ucapan Presiden Xi itu turut mengukuhkan keazaman beliau untuk menghalang tindakan yang memutarbelitkan sejarah serta membaktikan diri untuk kedamaian dunia dan persahabatan berkekalan Jepun-China.

Presiden Agensi Berita Pathet Laos, Sunthong Khantavong pula menyatakan bahawa selain komited mengekalkan laluan pembangunan secara damai, Presiden Xi juga menegaskan pentingnya kerjasama pelbagai negara untuk mewujudkan pembangunan bersama.

Inisiatif "Satu Jalur, Satu Laluan" (OBAOR) yang disarankan China untuk memperkukuh kerjasama antara negara-negara terlibat, bakal menjadi pemangkin hubungan dua hala Laos-China.

  

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China