Jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang hari ini mengumumkan bahawa Presiden Xi Jinping akan melakukan lawatan rasmi ke AS pada 22 hingga 25 September ini atas undangan rakan sejawatnya Barack Obama. Peristiwa ini disifatkan satu lawatan amat signifikan kepada hubungan kedua-dua negara yang kini berada pada fasa kritikal. Beberapa penyelidik terkenal dari China mengenai isu China-AS menganggap, lawatan tersebut lebih menfokuskan kepada kerjasama keselamatan siber dan perjanjian pelaburan bilateral.
Biarpun hubungan China-AS pada keseluruhannya kekal baik, tetapi sejak tahun ini, masih kedengaran suara yang berbeza daripada lapisan masyarakat yang berlainan. Kebimbangan dan kecurigaan Washington terhadap Beijing makin bertambah berikutan isu Laut China Selatan, masalah keselamatan siber dan pertumbuhan ekonomi China. Sebelum ini, media AS mendakwa, Rumah Putih mempertimbangkan mengenakan sekatan terhadap penggodam China. Sehubungan dengan itu, Naib Presiden Institut Pengajian Antarabangsa China (CIIS), Ruan Zongze mengatakan, China dan AS tidak patut tuduh-menuduh sesama sendiri mengenai masalah siber, sebaliknya memerlukan kerjasama. Naib Pengerusi Persatuan Diplomasi Awam China (CPDA), Ma Zhen'gang menganggap, Washington dan Beijing dijangka menggunakan kesempatan ini untuk menggalakkan kerjasama keselamatan siber. Menurut beliau, ketika mengatasi masalah yang dihadapi seluruh dunia itu, cara yang paling tepat adalah untuk bersama-sama mengkaji langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang berkesan.
Selain itu, pada pendapat pakar berkenaan, lawatan Xi kali ini dilihat akan membantu menggalakkan rundingan China-AS mengenai Perjanjian Pelaburan Bilateral (BIT) yang berlarutan selama tujuh tahun mencapai kemajuan. Ruan Zongze berkata, perjanjian itu masih dalam proses perbincangan. Maka, walaupun belum waktunya untuk menjangkakan suatu konsensus pada masa ini, tetapi boleh menantikan satu prospek yang cerah.
Selain daripada kedua-dua isu utama tersebut, hubungan tentera, kerjasama antikeganasan, tindakan menghadapi perubahan iklim pula menjadi topik perbincangan pada ketika lawatan nanti.
Ahli pemerhati global berpendapat, hubungan China-AS telah menjangkau hubungan bilateral dan semakin besar maknanya bagi seluruh dunia. Naib Presiden Universiti Hal Ehwal Luar China (CFAU), Wang Fan menyifatkan lawatan Xi nanti sebagai contoh penjalinan hubungan kuasa besar model baharu kepada negara-negara lain.
Hubungan China-AS mengalami jatuh bangun dalam tempoh 36 tahun lalu. Ruan Zongze berpendapat, meskipun ada salah faham dan kerenggangan, tetapi kerjasama dan pertukaran tetap menjadi aliran utama.