Hari ini merupakan ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Penceroboh Jepun dan kemenangan perang antiFasis serta ulang tahun ke-70 tertubuhnya Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Siri sidang kemuncak PBB akan diadakan pada akhir bulan ini. Pemimpin dari lebih 150 negara termasuk Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri sidang-sidang tersebut. Ini merupakan sidang yang berskala terbesar, berperingat tertinggi dan berpengaruh paling mendalam pada beberapa tahun kebelakangan ini. Ahli Dewan Negara China, Yang Jiechi telah menghasilkan satu artikel untuk merumuskan kejayaan PBB dalam tempoh 70 tahun yang lalu.
Menurut artikel itu, dalam tempoh 70 tahun yang lalu setelah tertubuhnya PBB, dunia ini agak damai. Memelihara kedamaian dunia merupakan tanggungjawab yang utama bagi PBB. Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan lebih 2,200 resolusi untuk menyelesaikan konflik dan mendorong rundingan damai. Selain itu, PBB telah menjalankan 69 kali misi untuk memelihara keamanan.
Mendorong pembangunan bersama-sama pula merupakan tugas yang penting bagi PBB. Program pembangunan menarik perhatian seluruh dunia terhadap pembangunan. Matlamat Pembangunan Milenium PBB mengubah nasib beratus-ratus juta orang. Jumlah penduduk yang miskin papa telah berkurangan 56% berbanding dengan tahun 1990. Selain itu, kadar kematian kanak-kanak dan perempuan hamil masing-masing menurun 52% dan 45%. Ini merupakan kejayaan yang cemerlang bagi PBB.
Dalam tempoh 70 tahun yang lalu, kerjasama sejagat semakin dipertingkatkan. PBB memainkan peranan yang penting untuk memperkasakan kerjasama antarabangsa. Kesamarataan kedaulatan, penyelesaian konflik secara damai serta tidak mencampur tangan urusan dalaman yang terkandung dalam Piagam PBB menjadi norma asas bagi hubungan antarabangsa komtemporari.
China merupakan negara pertama yang menandatangani Piagam PBB. Setelah tertubuhnya negara pada tahun 1949, Republik Rakyat China ditolak oleh PBB disebabkan faktor sejarah yang berkenaan. Pada 25 Oktober 1971, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi No.2758 untuk memulihkan hak Republik Rakyat China dalam PBB. Sebagai salah satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan, China sejak sekian lama berusaha menyelesaikan masalah antarabangsa secara damai, menyertai operasi pengaman PBB, memperkasakan kerjasama antarabangsa serta memelihara undang-undang antarabangsa.