Cari:
Eropah Berbalah Isu Pelarian
2015-09-22 14:17:56 CRI Cetak
Beribu-ribu pelarian terus membanjiri Eropah bukan sahaja menyebabkan benua tersebut kini terdedah kepada krisis pelarian yang semakin buruk, bahkan menimbulkan perbalahan sengit antara negara-negara Eropah berhubung dengan pembahagian sama rata pencari suaka politik di benua berkenaan.

Kerajaan Croatia berkata, sejak Serbia dan Hungary menutup sempadan mereka minggu lalu, kira-kira 27 ribu pelarian beralih arah ke Croatia. Oleh hal yang demikian, negara itu telah membuka pusat penempatan sementara untuk menampung pencari suaka politik tersebut.

Dalam pada itu, Austria mendakwa tidak mampu menerima pelarian kerana sudah terlalu ramai.

Hungary bagaimanapun terus melaksanakan tindakan keras bagi mengekang kebanjiran pelarian di sepanjang sempadan negaranya dengan Croatia. Agensi berita antarabangsa, Associated Press (AP) melaporkan, kerajaan negara itu semalam menyiarkan iklan di beberapa akhbar tempatan Lubnan untuk memberi amaran kepada pelarian agar tidak memasuki sempadannya secara haram kerana boleh dikenakan hukuman penjara.

Pada masa yang sama, Menteri-menteri Eropah Timur mengadakan satu pertemuan semalam bagi merapatkan jurang perbezaan berkaitan dengan dasar imigran masing-masing selepas krisis pelarian di rantau berkenaan semakin meruncing.

Rundingan itu melibatkan menteri luar dari Republik Czech, Hungary, Poland, Slovakia, Romania dan Latvia bersama-sama dengan rakan sejawat mereka dari Luxembourg yang kini memegang jawatan Presiden Kesatuan Eropah (EU). Pada ketika ini, Poland dan Hungary menunjukkan sikap berkeras terhadap isu pelarian.

Menteri Luar Poland, Grzegorz Schetyna berkata, Eropah harus menyeragamkan tindakan bagi menyusun pelan menangani krisis pelarian, bukan hanya mengikut pelan kuota pembahagian pelarian.

Beliau juga memberikan isyarat bahawa Eropah Tengah dan Timur tidak akan menerima pelarian kerana kekurangan pengalaman menempatkan mereka yang terlalu ramai.

Mengikut usul yang dicadangkan Perancis, setiap negara Eropah perlu menerima pelan pembahagian semula 160,000 pelarian dan skim secara sukarela itu akan dibentangkan pada sidang kemuncak pemimpin EU yang dijadualkan berlangsung lusa di Brussels.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China