Raja Arab Saudi, Raja Salman al-Saud menitahkan agar siasatan terperinci dijalankan berikutan insiden rempuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 717 terkorban, manakala lebih 800 lagi cedera di Mina, beberapa kilometer dari tanah suci Mekah, semalam.
Raja Salman menyifatkan insiden itu sebagai tragedi yang amat memilukan dan mahu siasatan segera dijalankan.

Menurut titah baginda, arahan sudah dikeluarkan agar diadakan kajian semula semua rancangan dan meningkatkan semua bentuk persediaan dan pengurusan jemaah yang menunaikan ibadat haji.

Menurut sumber Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, tragedi yang menyayat hati itu berlaku disebabkan sekumpulan jemaah haji bertembung dengan satu lagi kumpulan yang bergerak daripada arah bertentangan.
Kejadian tersebut adalah yang terburuk selepas tragedi terowong Muassim yang menghubungkan Mekah dan Mina runtuh pada tahun 1990, dengan meragut nyawa 1,426 jemaah haji.








