Pemimpin China dan AS menggariskan komitmen mereka untuk memecut pembangunan hubungan dua hala dengan melebarkan kerjasama dalam pelbagai bidang, sehingga memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, bahkan seluruh dunia.
Presiden Xi Jinping dan Presiden Barack Obama bersama-sama tampil di hadapan media untuk memaklumkan hasil pertemuan mereka di Washington semalam.
Xi berkata, Beijing dan Washington mempunyai kepentingan bersama yang agak banyak dalam isu Laut China Selatan. Kedua-dua pihak mendukung pemeliharaan keamanan dan kestabilan di kawasan perairan berkenaan dan berharap pertikaian yang wujud di sana dapat diselesaikan secara damai melalui rundingan oleh negara-negara terbabit.
Mengenai isu keselamatan siber, ketua negara ini bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam memerangi kegiatan jenayah siber, berkongsi maklumat berkenaan, tidak melakukan atau menyokong kegiatan mencuri rahsia komersial, mengkaji penyusunan tatalaku ruang siber antarabangsa yang munasabah, dan membentuk mekanisme dialog peringkat tinggi berhubung pembanterasan jenayah siber.
Ketika menyentuh tentang hak asasi manusia, Presiden Xi mengulangi pendirian Beijing mahu dialog berkaitan isu sensitif itu dapat diteruskan antara kedua-dua negara berasaskan prinsip sama rata dan saling menghormati.
Dalam pada itu, Presiden Obama memuji pertemuan yang berhasil itu bukan sahaja bermanfaat bagi kedua-dua negara, malah seluruh dunia.
Selain daripada ketiga-tiga isu yang menjadi perhatian utama tersebut, mereka dilaporkan bertukar-tukar pendapat mengenai pelaburan ekonomi dan perdagangan, pertukaran kebudayaan, program nuklear Iran, perubahan iklim, misi pengaman PBB dan sebagainya.