Presiden China, Xi Jinping dijadual menggariskan komitmen dan sokongan China terhadap Agenda 2030 Pembangunan Mapan PBB dan pelaksanaannya pada Persidangan Kemuncak PBB di ibu pejabatnya, New York, pagi 26 September ini.
Presiden Xi telah pun berada di New York selepas mengakhiri lawatan rasmi empat hari yang padat di Seattle dan Washington. Persidangan Kemuncak PBB yang bertemakan pembangunan sempena ulang tahun ke-70 penubuhannya, dilihat sebagai acara utama yang memberi peluang kepada China memajukan dasar luar dan memperkukuh hubungan pelbagai hala.
Di New York juga, Presiden Xi dijadualkan mempengerusikan Meja Bulat Peringkat Tinggi mengenai Kerjasama Selatan-Selatan dalam rangka kerja Agenda Pembangunan Pasca-2015 pada hari yang sama.
Selain itu, Xi dijangka pula mempengerusikan dan menyampaikan kenyataan pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Sedunia Mengenai Kesamarataan Gender dan Pemerkasaan Wanita.
Mesyuarat itu diadakan bagi merayakan ulang tahun ke-20 Deklarasi Beijing dan Landasan Tindakan mengenai kesamarataan gender dan pemerkasaan wanita.