Masyarkat antarabangasa diminta supaya menjadikan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mapan sebagai permulaan yang serba baharu dan bersama-sama menempuh jalan pembangunan yang saksama, terbuka dan kreatif demi mewujudkan perkembangan bersama.
Presiden China, Xi Jinping berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Kemuncak Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabatnya di New York, pagi semalam.
Beliau menyifatkan perhimpunan pemimpin-pemimpin pelbagai negara di New York pada kali ini sebagai amat signifikan sempena penubuhan ke-70 PBB. "Bagi penduduk dunia, pembangunan bermakna hidup dan harapan, yang memaparkan maruah dan hak. Dewasa ini perdamaian dan pembangunan masih adalah tema utama di dunia. Cara untuk menyelesaikan cabaran-cabaran global, seperti krisis pelarian yang semakin meruncing di benua Eropah, adalah mewujudkan perdamaian dan pembangunan", kata beliau.
Presiden ini dalam ucapannya menggariskan komitmen dan sokongan China terhadap Agenda 2030 yang diesahkan secara rasmi oleh negara anggota PBB itu serta pelaksanaannya.
Xi berpendapat, Agenda 2030 tersebut merupakan visi sejagat ke arah membangunkan sebuah dunia yang lebih baik, sekali gus mendatangkan peluang baharu kepada kerjasama antarabangsa. "Kita semua perlu memperjuangkan perkembangan yang saksama. Di bawah matlamat yang sama, pelbagai negara patut memikul tanggungjawab masing-masing. Perkembangan yang terbuka akan bermanfaat kepada semua pihak. Perkembangan yang menyeluruh akan berguna bagi menjaga keadilan masyarakat. Perkembangan yang kreatif akan menjadi penjana pertumbuhan."
Oleh hal yang demikian, Presiden Xi merayu kepada masyarkat antarabangsa supaya meningkatkan kerjasama bagi bersama-sama melaksanakan agenda berkenaan. Menurut beliau, sejak lebih 60 tahun lalu, China proaktif melibatkan diri dalam kerjasama perkembangan antarabangsa. Buat masa hadapan, negara ini akan terus mempertahankan prinsip mengambil kira kemanusiaan dan keuntungan dengan kemanusiaan diutamakan, dan menyumbang kepada pelaksanaan agenda agenda pasca-2015.
Demi membantu menjayakan Agenda 2030, Xi mengumumkan penubuhan Tabung Bantuan Kerjasama Selatan-Selatan dengan peruntukan sebanyak USD 2 bilion (RM 8.4 bilion) untuk fasa pertama, sebagai sokongan kepada negara-negara membangun dalam melaksanakan visi sejagat tersebut. Selain itu, pelaburan China di negara-negara paling mundur akan terus meningkat, dengan mencatat USD 12 bilion (RM50.4 bilion) menjelang 2030. Di samping itu, China akan mengecualikan hutang pinjaman tanpa faedah antara kerajaan yang belum dilunaskan oleh negara paling mundur, negara membangun pedalaman dan negara membangun kepulauan kecil menjelang penghujung 2015.
Tambah beliau, China mengesyorkan pembentukan jaringan sumber tenaga sejagat bagi memenuhi permintaan seluruh dunia terhadap tenaga elektrik melalui cara yang bersih dan mesra alam. Selain itu, China sedia bersama-sama dengan pihak-pihak terbabit untuk memecut pembinaan "Satu Jalur, Satu Laluan" (OBAOR), Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) dan Bank Pembangunan Baharu Negara-Negara BRICS, sehingga menjana pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun dan menyumbang kepada pembaikan kehidupan rakyat.
Dalam perkembangan yang lain, Presiden Xi Jinping juga menemui Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semasa berlangsungnya persidangan kemuncak berkenaan. Ban menyifatkan janji China yang dibuat untuk menyokong pembangunan PBB tersebut sebagai amat memberangsangkan. PBB berharap agar memperkasakan kerjasama dengan China dalam proses menjayakan Agenda 2030 serta isu-isu semasa yang hangat dan perjanjian komprehensif berhubung perubahan iklim.