Cari:
China Tetap Pentingkan SSC
2015-09-28 12:38:22 CRI Cetak

Mesyuarat meja bulat mengenai Kerjasama Selatan-Selatan (SSC) diadakan di ibu pejabat PBB, New York pada 26 September lalu. Presiden China, Xi Jinping yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menegaskan bahawa China merupakan sebuah negara membangun yang komited untuk maju bersama-sama dengan negara-negara membangun lain.

Bekas pemimpin China, Deng Xiaoping dalam Perhimpunan Agung PBB pada lebih 40 tahun lalu juga pernah menyatakan bahawa China sebuah negara membangun. Dengan peredaran zaman, situasi antarabangsa sudah berubah. China pun muncul sebagai entiti ekonomi kedua terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, Xi tetap menyatakan bahawa China masih amat mementingkan SSC.

"China masih negara membangun meskipun telah mencapai kemajuan besar dalam pembangunannya. China menyarankan mesyuarat meja bulat kali ini untuk menggalakkan perkembangan SSC, yang merupakan kerjasama yang saling menguntungkan. China melihat pembangunan negara lain sebagai peluang pembangunan sendiri, dan komited mengejar kemakmuran bersama."

Dalam tempoh beberapa dekad lalu, China selaku penyaran dan penggalak SSC, telah memberi sumbangan besar kepada kerjasama tersebut, sekali gus menjadi peneraju kerjasama itu. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut memuji sumbangan China.

Dalam mesyuarat meja bulat ini, Xi juga memperkenalkan inisiatif "Enam 100", yang bertujuan untuk membantu negara-negara membangun memajukan ekonomi dan menambah baik kesejahteraan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang. Inisiatif berkenaan merujuk kepada 100 program pengurangan kemiskinan, 100 projek kerjasama pertanian, 100 program bantuan perdagangan, 100 program perlindungan alam sekitar, 100 hospital dan klinik, serta 100 sekolah dan pusat latihan vokasional.

Selain itu, China akan menawarkan 120 ribu peluang latihan dan 150 ribu biasiswa kepada negara membangun lain, serta membantu negara tersebut melatih 500 ribu juruteknik profesional. China juga akan menubuhkan Akademi Kerjasama dan Pembangunan Selatan-Selatan, dan menyediakan bantuan kewangan sebanyak USD 2 juta kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Xi menyifatkan kesepakatan dan kerjasama dengan negara-negara membangun lain sebagai asas kukuh dasar luar China. Beliau menegaskan sekali lagi bahawa China akan berkongsi peluang pembangunannya dengan negara-negara tersebut.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China