Sidang Kemuncak Wanita Global (GSW) diadakan di ibu pejabat PBB, New York pada 27 September lalu, dipengerusikan oleh Presiden China, Xi Jinping. Presiden Xi dalam ucapannya telah mengemukakan beberapa saranan untuk menggalakkan pembangunan wanita dan kerjasama antarabangsa.
GSW ini merupakan satu lagi persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh China dalam tempoh siri sidang kemuncak PBB, atas kerjasama Entiti PBB untuk Kesamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita (UN Women). Ditambah pula dengan kehadiran hampir 80 orang ketua negara dan kerajaan serta pertubuhan antarabangsa, sidang kemuncak tersebut menjadi amat signifikan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden Xi.
"Kaum wanita, pencipta tamadun jasmani dan rohani, merupakan kekuatan penting untuk menggalakkan pembangunan dan kemajuan sosial. Tanpa wanita, tiadalah umat manusia. Perjuangan wanita menjadi penggerak kepada perkembangan tamadun manusia. Bersempena dengan ulang tahun ke-70 penubuhan PBB dan ulang tahun ke-20 berlangsungnya Persidangan Wanita Dunia Beijing, GSW yang menegaskan semula komitmen untuk memperjuangkan kesamaan jantina dan pembangunan wanita, amat bermakna."
Sidang kemuncak yang bertemakan "Galak Kesamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita Global" ini bertujuan untuk menggalakkan ketua negara dan kerajaan merealisasikan komitmen mereka dalam bentuk tindakan.
Presiden Xi turut mengemukakan saranan empat perkara.
"Pertama, mendorong pembangunan wanita seiring dengan kemajuan sosioekonomi. Strategi pembangunan yang lebih saintifik dan rasional perlu digubal bagi merangsang potensi wanita dan meningkatkan penglibatan mereka dalam pembangunan sosioekonomi. Kedua, hak dan kepentingan wanita, khususnya dalam aspek perubatan dan pendidikan, mesti mendapat perlindungan di sisi undang-undang dan menjadi sebahagian norma sosial. Ketiga, usaha bersepadu perlu dilakukan untuk membina masyarakat yang harmoni dan inklusif. Segala bentuk keganasan yang menyasarkan wanita, termasuk keganasan rumah tangga, mesti dihapuskan. Keempat, mencipta persekitaran antarabangsa yang bermanfaat bagi pembangunan wanita."
Presiden Xi mengumumkan bahawa China akan menyumbang USD 10 juta (kira-kira RM 44 juta) kepada UN Women untuk menyokong perjuangan wanita sejagat dan usaha entiti tersebut.
Beliau berikrar memperhebat usaha untuk meningkatkan kesamaan jantina dan menjadikannya dasar asas China bagi membolehkan wanita memainkan peranan lebih besar untuk "menjunjung separuh langit", serta menyokong perjuangan mereka untuk merealisasikan impian dan aspirasi dalam kerjaya dan kehidupan.