Cari:
Kebakaran Hutan Indonesia Paling Buruk Dalam Sejarah
2015-10-05 13:24:29 CRI Cetak

Jerebu ekoran kebakaran hutan di Indonesia mengakibatkan pencemaran semakin teruk di Kuala Lumpur, Malaysia, sehingga menyebabkan pihak penganjur terpaksa membatalkan maraton Bank Standard Chartered yang dijadualkan semalam.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran bahawa kebakaran hutan di Indonesia yang telah berlarutan selama beberapa minggu ini dijangka akan mencatat rekod sebagai kebakaran hutan yang paling buruk dalam sejarah.

Sekarang, Singapura, Malaysia, Indonesia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain diselubungi jerebu, manakala Indonesia berdepan dengan kritikan daripada negara-negara jiran atas kegagalannya mengawal kebakaran hutan dengan cekap. Pegawai Indonesia menyatakan bahawa hujan yang dijangka turun pada penghujung Oktober atau awal November diharap dapat membantu memadamkan kebakaran berkenaan.

Kebakaran hutan berlaku di Indonesia pada musim kemarau setiap tahun. Namun, kebakaran tahun ini amat teruk dan lebih buruk daripada kebakaran pada tahun 1997, yang dianggap paling dahsyat setakat ini.

Seorang pakar dari Institut Kajian Angkasa Lepas Goddard, NASA telah mengeluarkan amaran mengenai kebakaran dan jerebu di Sumatera dan Singapura yang amat teruk. Menurut beliau, jika musim kemarau tahun ini lebih panjang daripada yang dijangkakan, kemusnahan hutan yang bakal disaksikan dijangka mencatat rekod baharu.

Kebakaran hutan dan jerebu pada tahun 1997 dahulu telah mengakibatkan pencemaran alam sekitar yang serius selain kerugian ekonomi berjumlah USD 9 bilion (RM39.5 bilion).

Sekarang, kerajaan Indonesia telah menghantar 20 ribu anggota tentera, polis dan bomba, dan telah bertindak memadamkan kebakaran melalui pelbagai cara termasuk hujan buatan. Namun, setakat ini, usaha tersebut masih belum meampakkan hasil.

Pada masa yang sama, penduduk negara-negara jiran Indonesia seperti Singapura dan Malaysia teruk terjejas akibat jerebu. Langkah-langkah membatalkan penerbangan dan menutup sekolah buat sementara telah diambil, namun beribu-ribu orang telah merasai kesan pencemaran tersebut terhadap kesihatan mereka.

Singapura beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk menghantar anggota dan kelengkapan untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran, namun ditolak terus oleh pihak Indonesia. Oleh itu, pihak berkuasa Singapura amat tidak berpuas hati dengan Indonesia yang kurang cekap itu.

Menurut Ketua Agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia (BPNP), Willem Rampangile, masalah jerebu dijangka akan berakhir pada penghujung Oktober atau awal November selepas kawasan terbabit menerima hujan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China