Akhbar Renmin Ribao menyiarkan artikel oleh Ketua Pengarah Jabatan Statistik Negara China, Wang Bao'an, yang menjelaskan hubungan antara pertumbuhan ekonomi dengan jumlah penggunaan elektrik dan pengangkutan kargo menggunakan kereta api, yang menjadi tumpuan perhatian ramai dari dalam dan luar negara China.
Menurut artikel itu, jumlah penggunaan elektrik dan pengangkutan kargo menggunakan kereta api pada umumnya adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi. Dari segi penggunaan elektrik, ketika ekonomi bertumbuh, peningkatan penggunaan elektrik lebih tinggi berbanding dengan kadar peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Manakala ketika ekonomi menjadi perlahan, peningkatan penggunaan elektrik menurun lebih banyak. Dari segi jumlah pengangkutan kargo menggunaan kereta api pula, peningkatan pengangkutan kargo lebih rendah berbanding dengan pertumbuhan ekonomi disebabkan kapasiti pengangkutan kereta api. Ketika ekonomi menjadi perlahan, jumlah pengangkutan kargo menggunaan kereta api akan menampakkan penurunan yang lebih banyak. Sejak 2012, pertumbuhan ekonomi China menjadi perlahan, dan peningkatan jumlah pengangkutan kargo menggunakan kereta api menjadi lambat malah mengalami penurunan.
Beliau dalam artikel itu menyatakan bahawa kadar perubahan penggunaan elektrik dan pengangkutan kargo menggunakan kereta api, lebih besar berbanding dengan perubahan ekonomi. Ini selaras dengan hukum operasi ekonomi. Perubahan penggunaan elektrik dan pengangkutan kargo kereta api telah menunjukkan kemajuan baharu dalam penyusunan semula struktur dan transformasi ekonomi.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan penggunaan elektrik yang menjadi perlahan disebabkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, penaiktarafan industri, serta peningkatan keefisienan penggunaan tenaga.
Selain itu, peningkatan jumlah pengangkutan kargo kereta api yang menjadi lambat disebabkan penyusunan semula struktur perindustrian, pembaikan struktur sumber tenaga, cara pengangkutan yang lebih pelbagai, dan pembaikan taburan produktiviti.