Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bertemu dengan ahli Dewan Negara China, Yang Jiechi, yang berada di Tokyo untuk menghadiri dialog politik peringkat tinggi China-Jepun ke-2.
Dalam pertemuan semalam, Abe berkata, dialog tersebut membuahkan hasil yang positif. Hubungan yang mantap dan akrab antara Jepun dan China, yang merupakan entiti ekonomi ketiga dan kedua terbesar di dunia, bermanfaat bagi keamanan dunia dan pembangunan ekonomi global.
Hal ini bukan sahaja bersesuaian dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara, malah memenuhi aspirasi masyarakat antarabangsa.
Jepun bersedia untuk mengekalkan dialog peringkat tinggi, memperkasakan kerjasama dalam bidang ekonomi dan kebudayaan, menggalakkan pertukaran personel dan menangani perselisihan dengan China bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Jepun juga komited untuk mengekalkan laluan pembangunan secara damai bagi menyumbang kepada keamanan dunia.
Yang pula menyatakan bahawa perkembangan hubungan China-Jepun secara sihat dan stabil selaras dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara, dan juga berkaitan dengan keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.
Beliau berharap kedua-dua pihak terus meningkatkan dialog dan komunikasi serta kerjasama yang pragmatik dalam pelbagai bidang, untuk bersama-sama mendorong hubungan dua hala agar terus berkembang.