China menafikan projek pembinaannya di Laut China Selatan akan "menenterakan" perairan tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying, dalam sidang media semalam berkata, tindakan beberapa negara yang kerap menunjuk-nunjuk kekuatan tentera dan mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran dengan sekutu mereka di Laut China Selatan adalah faktor paling utama yang menyebabkan perairan tersebut "ditenterakan". China khuatir akan hal tersebut.
Dalam rundingan tahunan membabitkan menteri luar dan menteri pertahanan pada 13 Oktober lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Australia telah melahirkan kebimbangan terhadap projek menebus guna tanah di Laut China Selatan, sambil menggesa China supaya tidak "menenterakan" pulau dan terumbu yang berkenaan.
Berhubung dengan hal ini, Hua berkata, China mempunyai hak kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan di Kepulauan Nansha dan kawasan perairan yang berhampiran.
Projek pembinaan China di Kepulauan Nansha kebanyakannya untuk tujuan awam, bagi membantu negara ini menunaikan tanggungjawab dan kewajipan antarabangsa dengan lebih baik serta menyediakan lebih banyak perkhidmatan awam kepada rantau ini dan masyarakat antarabangsa.