Liu Xiaoming memaklumkan bahawa tahun ini merupakan tahun pertama bagi sepuluh tahun kedua perkongsian strategik antara China dan Britain. Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan tahun ini sebagai "tahun keemasan" bagi hubungan kedua-dua negara. Lawatan rasmi Presiden Xi ke Britain adalah bertepatan dengan "tahun keemasan" tersebut.
Liu berkata,
"Pemimpin kedua-dua negara akan menetapkan orientasi perkembangan hubungan bilateral, serta matlamat dan rancangan baharu yang berkenaan. Jadi, lawatan Presiden Xi yang amat signifikan ini suatu peristiwa penting yang diyakini akan menyingkap tirai "zaman keemasan" bagi hubungan China dan Britain."
Liu menyatakan bahawa dalam tempoh lawatan Presiden Xi, beberapa anggota keluarga diraja Britain dari tiga generasi akan menyambut kedatangan beliau dan isterinya, Puan Peng Liyuan. Presiden Xi akan menyampaikan ucapan dalam parlimen Britain. Selain rundingan rasmi, David Cameron akan menemankan Presiden Xi menghadiri beberapa aktiviti di London dan bersama-sama melawat ke Manchester. David Cameron dan isterinya, Samantha juga akan mengundang pasangan tetamu kehormat itu ke vila desa di Chequers. Di samping itu, China juga amat mementingkan lawatan Presiden Xi ini kerana lawatan tersebut merupakan lawatan khas Presiden Xi ke Britain.
Lawatan Presiden Xi tersebut menjadi tumpuan media Britain pada beberapa hari kebelakangan ini. Liu Xiaoming telah bertemu dengan kakitangan agensi media seperti BBC, akhbar Financial Times Britain dan Sky News Britain, dan turut menerima wawancara khas menerusi siaran langsung empat buah stesen televisyen Britain untuk memperkenalkan makna lawatan rasmi Presiden Xi ke Britain, serta hubungan antara China dan Britain, kerjasama ekonomi dan perdagangan, serta perkembangan ekonomi China.