Kebajikan warga tua, pendidikan, keselamatan makanan dan mutu alam sekitar berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat. Menurut Naib Pengarah Jabatan Kajian dan Perundingan, Pusat Pertukaran Ekonomi Antarabangsa China (CCIEE), Wang Jun, FYP ke-13 akan memfokuskan keprihatinan orang ramai, serta menjamin dan memperbaiki kehidupan rakyat. Katanya, "Menjamin dan memperbaiki kehidupan rakyat merupakan asas dan matlamat tugas kami. Antara yang akan diberikan perhatian termasuk pendidikan, pekerjaan, pendapatan dan jaminan sosial, perubatan dan kesihatan, keselamatan makanan, dan perumahan."
Dalam pada itu, usaha untuk melepaskan 70 juta orang daripada kemiskinan merupakan tugas penting bagi China dalam usaha mewujudkan masyarakat kaya. Prof Zhu Lijia dari Akademi Pentadbiran Negara China menyatakan bahawa, "Perlindungan alam sekitar, penambahbaikan kesejahteraan rakyat dan pembasmian kemiskinan akan membawa manfaat yang benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat. Menurut statistik terkni, masih terdapat berpuluh-puluh juta penduduk miskin di negara ini. Oleh itu, usaha membasmi kemiskinan perlu diintensifkan demi mewujudkan masyarakat kaya."
Pembangunan, yang akan memperkaya kehidupan rakyat, merupakan asas bagi usaha mewujudkan masyarakat kaya menjelang tahun 2020. Menurut penganalisis bahawa ekonomi China akan mengekalkan pertumbuhan sederhana pesat dalam tempoh lima tahun akan datang, iaitu pada kadar sekurang-kurangnya 6.5%.
Menurut Naib Ketua Pengarah CCIEE, Wei Jianguo, hanyalah melalui pembangunan mapan dapat pembaharuan diintensifkan. Katanya, "Hanyalah dengan mengekalkan pembangunan mapan, dapat kita mengintensifkan pembaharuan dalam pelbagai bidang, melakukan inovasi, membasmi kemiskinan, dan melaksanakan strategi negara, termasuk Satu Jalur Satu Laluan, zon ekonomi Sungai Yangtze, integrasi Beijing, Tianjin dan provinsi Hebei, serta kawasan perdagangan bebas."