Sidang Pleno ke-5 Jawatankuasa Pusat ke-18 Parti Komunis China (PKC) berakhir pada 29 Oktober lalu. Sidang tersebut telah membahaskan dan meluluskan Rancangan Lima Tahun ke-13 (FYP ke-13). Perkataan inovasi yang disebut 27 kali dalam pengumuman sidang pleno menjadi tumpuan ramai. Menurut pengumuman itu, untuk mengatasi cabaran-cabaran pembangunan, China mesti melaksanakan strategi pembangunan yang berorientasikan inovasi serta berteraskan konsep teratur, hijau, terbuka dan berkongsi.
Menurut ketua ahli ekonomi Sekuriti CITIC, Dr. Zhu Jianfang, "Inovasi diletakkan pada kedudukan yang amat penting dalam pengumuman tersebut, iaitu teras dalam pembangunan negara secara menyeluruh, dan akan menjadi fokus dalam kesemua tugas parti dan negara. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini."
Pengumuman tersebut kini menjadi tumpuan ramai di China, yang rata-rata hangat membincangkan dasar baharu yang membenarkan setiap pasangan berumah tangga mempunyai dua orang anak. Dalam pada itu, ahli ekonomi lebih menumpukan haluan pembangunan China kelak. China perlu mempertimbangkan pembangunan jangka panjang sekiranya mahu mewujudkan matlamat menubuhkan masyarakat kaya menjelang tahun 2020. Ahli ekonomi terkenal China, Ma Guangyuan berkata, "China masih kekurangan satu sistem dasar yang benar-benar memberikan sokongan dan galakan terhadap inovasi. Matlamat China pada lima tahun akan datang ialah menjadi entiti ekonomi yang berorientasikan inovasi dan mewujudkan masyarakat yang inovatif. Sekiranya matlamat ini diwujudkan, maka masyarakat kaya, pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan per kapita sebanyak satu kali ganda turut dapat diwujudkan."
Dalam pengumuman tersebut, beberapa langkah untuk melaksanakan strategi pembangunan berteraskan inovasi telah dikemukakan. Dr. Zhu Jianfang berpendapat bahawa inovasi akan memberikan pengaruh penting terhadap pembangunan sosioekonomi China pada keseluruhannya dan turut membawa manfaat kepada beberapa industri termasuk perkilangan berteknologi tinggi. Katanya,"Inovasi dasar serta sains dan teknologi akan mendorong industri perkilangan berteknologi tinggi berkembang ke tahap yang lebih tinggi. Selain itu, industri perkhidmatan turut akan memperoleh ruang pembangunan yang lebih meluas, contohnya dalam sektor perubatan dan kebajikan warga tua. Pembaharuan keinstitusian yang dibawa oleh inovasi akan menjadikan masa depan industri-industri berkenaan lebih cerah."