Cari:
Lawatan Xi ke Vietnam, Singapura Pacu Hubungan China-ASEAN
2015-11-02 15:22:53 CRI Cetak

Atas undangan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan Presiden Vietnam, Truong Tan Sang, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam pada 5 hingga 6 November ini. Selepas itu, beliau akan meneruskan lawatan rasmi ke Singapura atas undangan Presiden Tony Tan Keng Yam.

Dalam taklimat media yang diadakan oleh Kementerian Luar dan Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat PKC (IDCPC) pada Jumaat lalu, pegawai berkenaan menyatakan bahawa lawatan Presiden Xi ini amat signifikan dalam sejarah hubungan bilateral antara China dengan Vietnam dan Singapura, dan akan turut menggalakkan perkembangan hubungan China-ASEAN.

Kunjungan Presiden Xi ke Vietnam yang bermula pada 5 November ini membuka tirai lawatan diplomatik terakhir pemimpin tertinggi China ke negara jiran pada tahun ini. Penolong Menteri IDCPC, Li Jun memaklumkan bahawa dalam tempoh lawatan di Vietnam, Xi akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Nguyen Phu Trong dan Truong Tan Sang. Mereka akan bertukar-tukar pendapat mengenai hubungan bilateral, dasar domestik dan luar, serta isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama, bagi merancang cetak biru pembangunan hubungan China-Vietnam pada masa depan.

Selain itu, Presiden Xi juga dijadualkan menghadiri program interaksi dalam kalangan pemuda dan tokoh-tokoh yang membaktikan diri untuk persahabatan China-Vietnam, selain menyampaikan ucapan di parlimen Vietnam.

Tambah beliau lagi, tindakan diplomatik yang penting dalam sejarah hubungan China-Vietnam ini akan membolehkan hasil kerjasama bilateral lebih menguntungkan rakyat kedua-dua negara, sekali gus menyumbang kepada kestabilan serantau dan peningkatan kerjasama serantau.

Sejak bulan Ogos lalu, Singapura menggantikan Thailand sebagai penyelaras hubungan China-ASEAN. Naib Menteri Luar China, Liu Zhenmin memaklumkan bahawa dalam tempoh lawatan di Singapura pada 6 hingga 7 November ini, Xi akan bertemu dengan Presiden Tan Keng Yam dan PM Lee Sien Loong secara berasingan, dan menghadiri upacara perasmian Pusat Kebudayaan China.

Pemimpin kedua-dua negara akan bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan bilateral dan kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang. Lawatan tersebut diyakini dapat menaiktarafkan hubungan dua hala, mengukuhkan kesalingpercayaan politik dan kerjasama pragmatik China-Singapura, sekali gus memacu hubungan antara China dengan ASEAN.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China