Kerjasama antara China, Korea Selatan dan Jepun baru dapat diperkembangkan sekiranya ketiga-tiga negara mengambil sikap belajar daripada sejarah, berorientasikan masa depan dan berpegang pada pembangunan damai serta menangani isu sejarah dengan tindakan yang betul.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika bersama dengan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menghadiri Sidang Kemuncak Perindustrian dan Perdagangan China, Korea Selatan dan Jepun kali ke-5 di Seoul semalam.
Menurut Li, perdagangan purata tahunan antara ketiga-tiga negara tersebut meningkat 12 peratus dalam tempoh16 tahun yang lalu. China, Korea Selatan dan Jepun telah menjadi rakan dagang penting antara satu sama lain.
Tambah beliau, ketiga-tiga negara perlu menghadapi tekanan kemelesetan ekonomi akibat masalah ekonomi sejagat dan pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang perlahan. Usaha menjalinkan hubungan yang berorientasikan masa depan selaras dengan kepentingan bersama.
Park Geun-hye dalam sidang itu menyeru ketiga-tiga negara mempercepat proses rundingan kawasan perdagangan bebas (FTA), mendorong kesalinghubungan pengangkutan dan logistik, menggalakkan penaiktarafan industri tradisional, membangunkan industri kreatif dan inovasi, memperkukuh penyelarasan dasar kewangan dan meningkatkan kerjasama pelaburan bagi memperkasakan integrasi ekonomi Asia Timur.
Shinzo Abe pula berkata, ketiga-tiga negara perlu mendorong rundingan FTA, menggalakkan perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan serantau bagi memainkan peranan sebagai peneraju pembangunan ekonomi Asia.