Cari:
Kerjasama China, Singapura Teladan Serantau
2015-11-03 14:56:57 CRI Cetak

Bersempena dengan ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan diplomatik China-Singapura, Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada 6 hingga 7 November ini. Dalam proses perkembangan hubungan dua hala, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan Singapura mencapai kemajuan menggalakkan, yang turut menyaksikan tumpuan kerjasama semakin disepadukan dengan strategi pembangunan masing-masing. Kini, kerjasama tersebut telah menjadi teladan kerjasama serantau. Lawatan Presiden Xi ke Singapura akan membawa peluang yang lebih besar kepada kerjasama kedua-dua negara.

Sejak 25 tahun lalu, China dan Singapura berusaha untuk meneroka model kerjasama yang baharu. Taman Perindustrian Suzhou dan Kota Ekologi Tianjin, dua projek usaha sama yang dilaksanakan pada fasa berbeza pembangunan sosioekonomi China, dianggap sebagai contoh baik kerjasama berkenaan.

Kini, kedua-dua negara sedang giat mendorong pelaksanaan projek kerjasama ketiga antara kerajaan. Seiring dengan pembangunan bahagian barat China, pemilihan tapak projek tersebut di bandar Chongqing, Chengdu dan Xi'an juga diselaraskan dengan strategi pembangunan China. Projek baharu yang mengutamakan industri perkhidmatan moden dan kesalinghubungan akan terus memperluas kerjasama kedua-dua negara dalam bidang perkhidmatan kewangan, penerbangan, pengangkutan dan logistik serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Projek berkenaan menyasarkan untuk membina hab kesalinghubungan dan industri perkhidmatan di kawasan barat, yang menjadi panduan bagi kerjasama serantau.

Sehubung dengan itu, Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Teo Siong Seng berpendapat, pemilihan kawasan barat China sebagai tapak projek tersebut akan turut mendorong kerjasama kedua-dua negara bagi menjayakan gagasan "Satu Jalur, Satu Laluan" (OBAOR).

Menyentuh hala tuju kerjasama ekonomi China-Singapura pada masa depan, Menteri Penasihat Kedutaan Besar China di Singapura, Zheng Chao berpendapat bahawa pelaburan dua hala akan menjadi tumpuan kerjasama kedua-dua negara pada masa akan datang.

Berhubung dengan lawatan rasmi Presiden Xi ke Singapura, Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob menyuarakan harapan supaya lawatan ini dapat memperkukuh kerjasama bilateral dalam bidang politik dan ekonomi. Beliau yakin, kerjasama China-Singapura yang mempunyai prospek cerah, akan menjana kerjasama antara China dengan negara-negara lain di rantau ini, yang turut mengukuhkan asas kerjasama kedua-dua negara.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China