Cari:
Lawatan Xi Demi Perkongsian Kerjasama Komprehensif China-Singapura
2015-11-04 15:37:53 CRI Cetak

Duta Besar China ke Singapura, Chen Xiaodong semalam mengadakan taklimat media mengenai lawatan Presiden Xi Jinping ke Singapura yang dijadualkan pada 6 hingga 7 November ini. Menurut beliau, lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan kesalingpercayaan politik, memperkasakan kerjasama pragmatik, memperluas pertukaran sosiobudaya dan membina perkongsian kerjasama komprehensif yang sejajar dengan perkembangan zaman.

Chen menyatakan bahawa sejak bertugas sebagai duta di Singapura pada bulan Julai lalu, lawatan Presiden Xi antara topik yang paling banyak disebut dalam pertemuan beliau dengan pegawai kerajaan Singapura. Selepas berita mengenai lawatan ini diumumkan, lawatan berkenaan turut menjadi tumpuan media dan laman sosial kedua-dua negara.

Dalam tempoh lawatan ke Singapura, Xi akan mengadakan rundingan secara berasingan dengan Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, serta menghadiri jamuan negara yang dipengerusikan oleh Presiden Tan. Sementara itu, Lee dan isterinya akan mengadakan jamuan tengah hari peribadi untuk Xi dan isterinya, Peng Liyuan.

China dan Singapura akan mencapai beberapa konsensus dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan, serta sosiobudaya.

Dalam bidang politik, kedua-dua negara bakal mengumumkan hubungan dua hala dinaiktarafkan kepada perkongsian kerjasama komprehensif yang sejajar dengan perkembangan zaman.

Dalam bidang ekonomi dan perdagangan pula, China dan Singapura akan mengumumkan projek kerjasama ketiga antara kerajaan dilancarkan secara rasmi.

Projek kerjasama baharu yang bertapak di bahagian barat China itu akan berfokus pada kesalinghubungan dan industri perkhidmatan moden, sejajar dengan pelaksanaan gagasan "Satu Jalur, Satu Laluan" (OBAOR).

Pemimpin kedua-dua negara akan mengeluarkan isyarat positif untuk menggalakkan penaiktarafan perjanjian perdagangan bebas bagi memacu kerjasama ekonomi dua hala.

China dan Singapura juga akan mengambil peluang ini untuk membincangkan pemeteraian dokumen kerjasama mengenai usaha mendorong pembangunan OBAOR, sebagai panduan kepada pelaksanaan gagasan tersebut.

Di samping itu, kedua-dua pihak akan menandatangani beberapa perjanjian kerjasama yang melibatkan bidang pendidikan, kastam, kewangan dan tadbir urus bandar.

Menurut Chen, dalam tempoh lawatan ini, Xi juga dijadualkan menghadiri siri aktiviti sosiobudaya. Beliau akan bersama Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong merasmikan Pusat Kebudayaan China di Singapura.

Xi juga akan menyampaikan ucapan mengenai hubungan China-Singapura, hubungan China-ASEAN serta situasi serantau.

Satu spesies baharu orkid, bunga kebangsaan Singapura, akan dinamai sempena nama Presiden Xi dan isterinya sebagai lambang persahabatan rakyat kedua-dua negara.

Chen menyatakan bahawa pertukaran lawatan antara pemimpin kedua-dua negara bersempena dengan ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan diplomatik China-Singapura, akan meletakkan asas kukuh yang membolehkan ikatan bilateral melakar kecemerlangan lebih membanggakan dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China