Presiden China, Xi Jinping mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Vietnam bermula hari ini. Lawatan ini diyakini akan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
Hubungan China-Vietnam telah menyaksikan perkembangan yang baik pada tahun-tahun kebelakangan ini berikutan kerjasama dan interaksi yang semakin rapat antara pucuk pimpinan, serta dalam bidang ekonomi, perdagangan dan sosiobudaya. Menurut penganalisis, walaupun masih terdapat beberapa isu tertunggak sejarah, namun perkembangan hubungan persahabatan dan kerjasama tetap merupakan arus perdana dalam hubungan dua hala ini memandangankan kedua-dua negara mempunyai sistem politik dan strategi pembangunan yang hampir sama.
Pertukaran lawatan antara pucuk pimpinan China dan Vietnam semakin kerap pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong telah membuat lawatan rasmi ke China pada bulan April lalu. Kenyataan Bersama China-Vietnam yang dikeluarkan semasa lawatan itu menekankan bahawa sebagai jiran yang mempunyai persamaan dari segi sistem politik dan laluan pembangunan, kedua-dua negara dapat saling berkongsi peluang pembangunan.
China merupakan rakan dagang yang terbesar bagi Vietnam selama 11 tahun berturut-turut. Pada tahun 2014, Vietnam menjadi rakan dagang yang kedua terbesar bagi China di rantau ASEAN. Jumlah import dan eksport antara kedua-dua negara mencecah USD 64.1 bilion dalam tiga suku pertama tahun ini, meningkat 12 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.
Di samping itu, interaksi sosiobudaya antara kedua-dua negara terus meningkat. Pelbagai saluran interaksi baharu dalam pelbagai bentuk turut diwujudkan bagi meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara. Ini termasuk interaksi antara golongan belia, media dan sarjana.
Pemerkasaan kerjasama dan persahabatan antara China dengan Vietnam bukan sahaja selaras dengan kepentingan negara dan rakyat kedua-dua negara, tetapi juga berfaedah bagi kestabilan dan kemakmuran serantau. Hubungan dua hala ini dipercayai dapat terus melangkah ke hadapan pada masa akan datang.