Pertemuan pemimpin Tanah Besar China dan Taiwan, Xi Jinping dan Ma Ying-jeou telah diadakan di Hotel Shangri-la Singapura semalam.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Taiwan Dewan Negara China, Zhang Zhijun, pertemuan ini mendapat perhatian seluruh dunia dan amat bermakna.
Pertama, pertemuan tersebut adalah pertemuan pemimpin kedua-dua pihak Tanah Besar dan Taiwan yang pertama selepas tahun 1949 dan membuka lembaran baharu bagi hubungan kedua-dua pihak.
Kedua, pertemuan tersebut mengimbas kembali perkembangan hubungan antara kedua-dua pihak dalam tempoh 66 tahun, terutamanya selepas tahun 2008. Pembangunan damaidan terbukti pilihan yang betul dan akan dikekalkan.
Ketiga, pertemuan tersebut mengiktiraf lagi "Konsensus 1992" sebagai asas politik, dan membawa makna yang besar terhadap masa depan hubungan antara Tanah Besar dengan Taiwan.
Keempat, peningkatan kontak antara Tanah Besar dengan Taiwan bermanfaat untuk meningkatkan interaksi dan dialog kedua-dua pihak, sehingga membawa situasi menang-menang.
Kelima, pertemuan tersebut mengumumkan kepada dunia bahawa rakyat China mampu dan cukup bijak untuk menyelesaikan masalah sendiri.
Keenam, pertemuan ini akan meningkatkan kemahuan rakyat kedua-dua pihak untuk mewujudkan kebangkitan bangsa China.
Zhang Zhijun menegaskan, Tanah Besar tidak akan campur tangan dalam pemilihan Taiwan dan akan terus menggalakkan hubungan kedua-dua pihak berkembang dengan sihat ke arah yang betul.