Cari:
Li Keqiang Bakal Hadiri Siri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Asia Timur
2015-11-16 14:42:00 Agensi Berita Xinhua China Cetak
Perdana Menteri China, Li Keqiang akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-China (10+1) ke-18, Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN, China Jepun dan Korea Selatan (10+3) ke-18, serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 atas undangan Perdana Menteri Malaysia selaku negara pengerusi bergilir ASEAN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain menghadiri siri mesyuarat tersebut, Li Keqiang juga akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Demikian dinyatakan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei dalam sidang media baru-baru ini.

Hong berkata, kehadiran Li Keqiang dalam siri mesyuarat kali ini bukan sahaja akan mengeratkan hubungan antara China dengan ASEAN, malah amat signifikan bagi menggalakkan kerjasama rantau Asia Timur.

China berharap agar mesyuarat tersebut dapat memfokuskan kerjasama pembangunan serantau, menjana pertumbuhan ekonomi dan memelihara kestabilan kewangan serantau serta mencapai lebih banyak perjanjian dalam bidang ekonomi, kewangan, kerjasama produktiviti, perdagangan bebas dan kesalinghubungan serta kerjasama dalam bidang keselamatan bukan tradisional, sekali gus bersama-sama mendorong kerjasama Asia Timur melangkah ke tahap baharu.

Hong Lei berkata, dalam tempoh lawatan ke Malaysia kali ini, Li Keqiang dan Najib akan mengadakan pertemuan dan bertukar-tukar pendapat mengenai hubungan dua hala serta membincangkan isu-isu yang perlu diberikan perhatian bersama.

Li Keqiang juga akan berinteraksi dengan tokoh-tokoh daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk memantapkan hubungan persahabatan kedua-dua negara.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China