Berhadapan dengan ekonomi dunia yang menghadapi banyak risiko, Asia Pasifik perlu berkembang mengikuti arah yang betul dan semua entiti ekonomi di rantau ini perlu menunjukkan keberanian dan berusaha bersama-sama demi mendorong pertumbuhan ekonomi dunia.
Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping ketika menyampaikan ucapan dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Perindustrian dan Perdagangan APEC yang diadakan pagi tadi.
Xi Jinping menyatakan bahawa rantau Asia Pasifik perlu terus menggalakkan reformasi dan inovasi dalam menyelesaikan isu ekonomi dunia.
Sehubungan dengan itu, rantau Asia Pasifik perlu membaharui struktur ekonomi dan berusaha melaksanakan inovasi terhadap konsep pembangunan, model pembangunan dan laluan pembangunan.
Presiden Xi berharap agar pembinaan kawasan perdagangan bebas Asia Pasifik dipercepat, di samping menggalakkan integrasi ekonomi serantau.
Ketika membicarakan pelaksanaan agenda pembangunan, Xi berkata, pelaksanaan agenda pembangunan mampan tersebut perlu dimasukkan dalam strategi pembangunan pelbagai negara.
Selain itu, beliau juga berharap agar negara-negara di rantau ini berusaha menggalakkan kesalinghubungan antara satu sama lain.