Cari:
Kehadiran Presiden Xi di Sidang G20, APEC Berhasil
2015-11-20 14:27:05 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping pulang ke Beijing semalam setelah menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) ke-10 di Antalya, Turki dan Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Manila, Filipina.

Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan bahawa kehadiran Presiden Xi di kedua-dua sidang kemuncak tersebut, ketika situasi politik dan ekonomi dunia berdepan dengan pelbagai cabaran baharu, merupakan tindakan diplomasi multilateral yang signifikan bagi China. Beliau hadir dengan matlamat mewujudkan konsensus, meningkatkan keyakinan dan menggalakkan pembangunan. Dalam tempoh selama enam hari, Presiden Xi telah menghadiri berpuluh-puluh mesyuarat, menyampaikan ucapan penting, mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin negara-negara BRICS serta menemui lebih sepuluh orang pemimpin negara dan sejumlah tokoh dari kalangan kewangan dan ekonomi. Beliau telah membentangkan secara terperinci pandangan dan cadangan China tentang isu ekonomi dan politik yang penting di dunia, serta memperkenalkan situasi dan konsep pembangunan negara ini.

Pemulihan ekonomi dunia kurang rancak sejak dilanda krisis kewangan antarabangsa. Presiden Xi telah mengemukakan cadangan-cadangan China mengenai masalah tersebut dalam mesyuarat G20. Menurutnya, masyarakat antarabangsa perlu menstabilkan pertumbuhan pada ketika ini di samping mencari daya penggerak baharu, melaksanakan konsensus yang telah tercapai di samping mencapai kata sepakat baharu, menjayakan pembangunan di negara sendiri di samping berganding bahu dan mengadakan kerjasama yang saling menguntungkan dengan negara yang lain. Cadangan beliau menarik perhatian dan mendapat sambutan baik daripada para pemimpin yang menghadiri mesyuarat G20.

Wang Yi berkata, kedamaian, pembangunan, kerjasama dan keuntungan bersama tetap menjadi hasrat negara-negara di rantau Asia Pasifik. Presiden Xi dalam Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC berkata, rantau ini tetap menjadi daya penggerak bagi pertumbuhan ekonomi dunia. Entiti-entiti ekonomi di rantau ini perlu menetapkan hala tuju pembangunan yang betul, memikul tanggungjawab masing-masing dan berganding bahu. Menurutnya, Asia Pasifik perlu mewujudkan persekitaran yang damai bagi pembangunan, dan tidak membenarkan apa jua perkara yang boleh menjejaskan pembangunan di rantau ini.

Ucapan Presiden Xi dalam kedua-dua mesyuarat tersebut telah meningkatkan pemahaman dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap China. Pelbagai pihak yakin bahawa setelah China menjalankan pembaharuan dan transformasi, pertumbuhan ekonominya akan menampakkan kualiti yang lebih tinggi dan prospek yang lebih cerah, serta membawa lebih banyak peluang baharu kepada dunia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China