Cari:
Penaiktarafan CAFTA demi Liberalisasi dan Pemudahan Perdagangan, Pelaburan
2015-11-23 13:12:45 Agensi Berita Xinhua China Cetak

Protokol mengenai pemindaan Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi Komprehensif China dan ASEAN serta perjanjian berkaitan telah dimeterai oleh Menteri Perdagangan China, Gao Hucheng dan menteri-menteri dari sepuluh negara anggota ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia pada 22 November lalu.

Pemeteraian protokol tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri China, Li Keqiang dan rakan sejawatnya dari Malayisa, negara pengerusi ASEAN tahun ini, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari itu.

Menteri Perdagangan China, Gao Hucheng berkata, Perdana Menteri Li telah membuat banyak usaha untuk menggalakkan penyelesaian rundingan tentang penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dan pemeteraian protokol tersebut sempena Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur kali ini. CAFTA yang siap dibina pada tahun 2010 telah mengeratkan hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak berkembang dengan pesat dan stabil dalam jangka masa yang panjang.

Gao berkata, protokol ini mencakupi sektor-sektor termasuk perdagangan kargo dan perkhidmatan, pelaburan serta kerjasama ekonomi dan teknologi. Protokol ini memperkayakan, menyempurnakan, melengkapkan dan menaiktarafkan pelbagai perjanjian yang telah dicapai dalam CAFTA. Tahap liberalisasi perdagangan kargo CAFTA sudah mencapai tahap yang amat tinggi, iaitu hampir 95% komoditi antara kedua-dua pihak adalah bebas tarif. Dalam pada itu, China dan ASEAN memberi keutamaan untuk meningkatkan pemudahan perdagangan kargo dan pelaburan, memperluas keterbukaan pasaran perkhidmatan dan menaik taraf kerjasama ekonomi dan teknologi dalam rundingan kali ini.

Dari segi perdagangan kargo, kedua-dua pihak mengoptimumkan dan menyempurnakan peraturan tempat asal barangan, mempermudah prosedur kastam dan berjanji untuk memperkenalkan sistem automatik, pengurusan risiko dan sebagainya agar menyediakan perkhidmatan pelepasan kastam yang cekap kepada syarikat-syarikat China dan ASEAN.

Dari segi perdagangan perkhidmatan, kedua-dua pihak telah menyelesaikan rundingan pusingan ketiga konsesi yang konkrit berkaitan sektor itu. Negara-negara anggota ASEAN telah membuat komitmen untuk meningkatkan taraf keterbukaan kepada China dalam 70 subsektor daripada lapan bidang iaitu komersial, telekomunikasi, pembinaan, pendidikan, alam sekitar, kewangan, pelancongan dan pengangkutan.

Dari segi pelaburan, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkasakan kerjasama dalam penggalakkan dan pemudahan pelaburan, mempermudah prosedur pemeriksaan dan perakuan, membina pusat pelaburan sehenti, sekali gus mencipta suasana pelaburan yang stabil, telus dan cekap.

Dari segi kerjasama ekonomi dan teknologi, kedua-dua pihak berikrar memperluas kerjasama dalam lebih sepuluh bidang, termasuk pertanian, perikanan, perhutanan, industri teknologi maklumat, pelancongan, pengangkutan, hak harta intelek, sumber modal insan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan alam sekitar.

Gao Hucheng menyatakan bahawa protokol tersebut akan menggiatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN ke tahap yang baharu dan memberi dimensi kepada pertumbuhan ekonomi China dan ASEAN, demi pembangunan komuniti berkongsi nasib bersama China-ASEAN yang lebih erat.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China