Perdana Menteri China, Li Keqiang menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 20 hingga 23 November lalu, dan mengadakan lawatan rasmi ke negara tersebut. Dalam tempoh itu, beliau telah mengemukakan beberapa cadangan demi meningkatkan kerjasama China-ASEAN, kerjasama Asia Timur dan hubungan dua hala China-Malaysia. Cadangan beliau telah mendapat sanjungan tinggi. China dan ASEAN juga menandatangani protokol tentang penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China ASEAN (CAFTA) dan meluluskan Pelan Tindakan Melaksanakan Pengumuman Bersama Hubungan Rakan Strategik China-ASEAN untuk Kedamaian dan Kemakmuran.
Penasihat Kanan kepada Presiden Persatuan Perniagaan China-ASEAN, Li Jianxiong berpendapat bahawa cadangan PM Li dalam Sidang Kemuncak Asia Timur untuk mempercepat integrasi ekonomi serantau, menggiatkan dialog politik dan keselamatan, serta meningkatkan pertukaran dan dialog tamadun Asia merupakan satu rumusan yang baik.
Penyelidik dari Institut Kajian Longus Singapura berpendapat, penaiktarafan CAFTA bermanfaat bagi pencapaian matlamat jumlah perdagangan China-ASEAN mencatat USD 1 trilion pada tahun 2020 dan juga penggalakan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Pengurus Besar Kumpulan Hai-O Malaysia, Tan Khai Hee berkata, Malaysia akan mengambil kesempatan daripada insiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) untuk mengadakan kerjasama yang saling menguntungkan dengan China.
Presiden Yayasan Nanyang ASEAN Indonesia, Bambang Suryono pula berpendapat, China bersedia untuk menetapkan cetak biru Komuniti Ekonomi Asia Timur dengan pelbagai pihak dan berusaha untuk mewujudkan matlamat penubuhan komuniti tersebut pada tahun 2020. Hal ini akan membawa manfaat bagi kemakmuran, keamanan dan keharmonian Asia Timur dan pasti dialu-alukan oleh rakyat di negara-negara rantau ini termasuk Indonesia.