Cari:
Turki Tembak Jet Pejuang Rusia
2015-11-25 14:19:31 CRI Cetak

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Turki menembak jatuh jet pejuang jenis Su-24 milik Rusia yang didakwa menceroboh ruang udara negara itu semalam.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu "tikaman dari belakang" oleh mereka yang bersekongkol dengan kumpulan pengganas.

Moscow menegaskan bahawa jet pejuang milik negara itu tidak melintasi ruang udara Turki. Oleh itu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, membatalkan lawatannya ke Turki yang dijadualkan bermula hari ini.

Dilaporkan, kejadian itu berlaku apabila jet pejuang Rusia yang sedang melakukan operasi memerangi pengganas di kawasan pergunungan di wilayah Latakia didakwa menceroboh ruang udara Turki, menyebabkan Ankara mengarahkan pesawat berkenaan keluar dari ruang udaranya, namun jet pejuang itu enggan mematuhi arahan.

Pihak Turki berkata, semua pihak harus menghormati hak sesebuah negara untuk melindungi sempadannya.

Oleh itu, Ankara telah mengerahkan pesawat pejuang jenis F-16 me­nembak jatuh pesawat Su-24 terbabit, yang menyebabkan pesawat tersebut terhempas di wilayah Latakia di sempadan Syria-Turki.

Tentera Rusia menyatakan bahawa salah seorang daripada dua juruterbang yang cuba menyelamatkan diri daripada pesawat yang ditembak jatuh itu dipercayai terkorban. Seorang lagi masih belum diketahui sama ada selamat atau terkorban.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon meminta agar semua pihak bertenang dan berharap agar ketegangan itu dapat dikendurkan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, mempertahankan hak Turki untuk melindungi ruang udara negara mereka.

Semasa berucap dalam satu sidang media dengan rakan sejawatnya dari Perancis, François Hollande di Washington, Obama berkata, perkara yang paling utama adalah untuk mengelakkan kejadian itu daripada menjadi bertambah buruk.

Pada masa yang sama, jurucakap Pentagon, Steve Warren berkata, AS tidak terbabit dalam nahas yang membabitkan jet pejuang Rusia di sempadan Syria.  

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China