Cari:
Ketegangan Rusia-Turki Memuncak
2015-11-26 17:02:49 CRI Cetak

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyifatkan insiden jet pejuangnya ditembak jatuh oleh Turki sebagai "provokasi yang dirancang".

Beliau dalam sidang media di Moscow semalam berkata, Rusia mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan serangan tersebut adalah provokasi yang dirancang.

Namun, Lavrov berkata, pihaknya tidak merancang untuk berperang dengan Turki dan sikap mereka terhadap rakyat Turki tidak akan berubah. Walau bagaimanapun, Moscow akan "menilai semula secara serius" hubungan dengan Ankara.

Sehari selepas jet pejuang jenis Su-24 milik Rusia ditembak jatuh Turki, Moscow bertindak balas dengan mengerahkan dua aset tentera ke Syria.

Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu berkata, sistem peluru berpandu antipesawat S-400 akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hmeimim di Syria bagi mengukuhkan pertahanan.

Beliau juga memaklumkan, salah seorang juruterbang jet pejuang yang ditembak jatuh itu kini dalam keadaan selamat di sebuah pangkalan udara Rusia di Syria. Namun, seorang lagi telah ditembak kumpulan penentang kerajaan Syria daripada puak Turksmen, setelah keluar daripada jet pejuang itu dengan payung terjun.

Terdahulu, Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev mengecam tindakan Turki itu sebagai perbuatan jenayah dan Ankara seolah-olah sengaja meneruskan dasar menyokong Islamisasi negara mereka.

Namun, Turki kemudian mengambil langkah untuk meredakan ketegangan yang kelihatan memuncak antara kedua-dua negara itu. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan bahawa Ankara hanya cuba mempertahankan sempadannya.

Beliau mendakwa, pihaknya tidak berniat untuk memburukkan lagi keadaan yang sudah berlaku. Negara itu hanya mahu mempertahankan keselamatan mereka.

Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu pula menyifatkan Rusia sebagai "rakan dan jiran" serta berkata Ankara tidak mahu memburukkan hubungan dengan Moscow.

Susulan perkembangan tersebut, di Moscow, beratus-ratus penduduk melontarkan batu dan telur ke arah bangunan kedutaan Turki hingga memecahkan beberapa tingkap. Mereka juga membawa sepanduk-sepanduk anti-Turki sebagai satu bantahan ke atas kejadian jet pejuang Rusia yang ditembak jatuh.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China