Beijing mengeluarkan amaran jerebu tahap merah hari ini, menyarankan sekolah ditutup dan masa kerja fleksibel dilaksanakan selain mengehadkan bilangan kereta di jalan raya mengikut nombor pendaftaran ganjil dan genap di bandar raya ini.
Tahap merah itu adalah amaran paling serius dalam sistem amaran empat peringkat yang mula digunakan lebih dua tahun lalu.
Ini merupakan kali pertama amaran tahap merah dikeluarkan di Beijing, sekali gus menunjukkan jerebu teruk dijangka berterusan lebih tiga hari.
Amaran tahap merah yang berkuat kuasa bermula pada pukul 7 pagi 8 Disember hingga pukul 12 tengah hari 10 Disember ini bertujuan untuk melindungi kesihatan penduduk awam dan mengurangkan tahap pencemaran udara teruk.