Cari:
Perdagangan Luar China Tetap Berdepan Tekanan
2016-01-14 15:44:27 CRI Cetak

Jumlah import dan eksport China mencatat RMB 24.59 trilion pada tahun 2015, menurun 7% berbanding dengan tahun 2014. Dalam pada itu, jumlah lebihan dagangan mencatat RMB 3.69 trilion, meningkat 56.7%.

Ini merupakan kali kedua jumlah import dan eksport merosot dengan serentak sejak tahun 2009. Menyentuh tentang faktor yang menyebabkan kemerosotan itu, jurucakap Jabatan Pentadbiran Am Kastam China, Huang Songping berkata, "Permintaan luar yang lembap antara faktor utama yang menjejaskan pengeskportan negara ini. Momentum pertumbuhan ekonomi global terjejas akibat krisis kewangan sejak tahun 2008, sehingga menyebabkan perdagangan antarabangsa turut meleset. Dalam aspek pengimportan pula, purata harga minyak mentah yang diimport China menurun 45.3% dalam tempoh setahun lepas. Di samping itu, harga sesetengah komoditi pukal seperti besi, arang batu, minyak dan tembaga juga menurun. Selain itu, tekanan kemerosotan besar yang dialami ekonomi China turut memberi impak kepada pengimportan negara ini. "

Walaupun pertumbuhan perdagangan luar gagal mencapai kira-kira 6% yang disasarkan kerajaan, namun beberapa perubahan yang positif tetap dilihat dalam sektor tersebut. Prestasi import dan eksport China juga jauh lebih baik jika dibandingkan dengan entiti-entiti ekonomi utama lain. Huang berkata, "Pertama, China mengekalkan status sebagai kuasa terbesar dalam perdagangan komoditi dunia. Kedua, bentuk perdagangan baharu menyuntik kedinamikan kepada perdagangan luar. Usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan perkembangan pesat pelbagai bentuk perdagangan baharu seperti e-dagang rentas sempadan. Ketiga, usaha mengoptimumkan struktur import dan eksport mencapai kemajuan yang memuaskan."

Pada tahun 2015, mod perdagangan lebih munasabah, rakan dagang lebih pelbagai, manakala syarikat swasta menunjukkan kedinamikan dan kesungguhan untuk meneroka pasaran antarabangsa. Perdagangan luar China berkembang ke arah yang lebih optimum.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China