Agensi Polis Eropah (Europol) mengumumkan perasmian Pusat Antikeganasan Eropah semalam. Pusat itu akan membantu negara anggota Kesatuan Eropah (EU) memperhebat usaha perkongsian maklumat risikan dan penyelarasan tindakan bagi membanteras mereka yang menyokong "jihad", mengesan dan menyiasat sumber dana kumpulan pengganas, memerangi kegiatan hasutan melalui internet dan penyeludupan senjata.
Ketua Pengarah Europol, Rob Wainwright ketika menyampaikan ucapan dalam majlis pelancaran pusat tersebut menyatakan bahawa Eropah sedang menghadapi ancaman keganasan yang paling teruk sejak berbelas-belas tahun yang lalu dan mungkin akan mengalami serangan pada masa depan. Penubuhan Pusat Antikeganasan Eropah tersebut merupakan respons kolektif EU terhadap ancaman keganasan.