Syria menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) supaya mengutarakan sekeras-kerasnya kritikan terhadap serangan di Damsyik yang dilancarkan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) dengan tujuan untuk mencemari rundingan damai antara wakil kerajaan Syria dengan puak pembangkang di Geneva semalam.
Kementerian Luar Syria dalam surat kepada kedua-dua pertubuhan antarabangsa tersebut berkata, serangan itu bukan sahaja menjejaskan percubaan pihak-pihak terbabit dalam proses rundingan damai, malah menimbulkan suasana panik dalam kalangan rakyat Syria.
Negara itu menegaskan bahawa usaha memerangi keganasan sepatutnya dilakukan di sisi undang-undang antarabangsa.
Dilaporkan, seramai 50 orang maut, manakala 100 lain cedera dalam serangan pengganas di daerah Sayeda Zeinab, Damsyik, semalam.
IS mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Sekumpulan militan meletupkan bom kereta berdekatan stesen bas di kawasan Koua Sudah. Dua pengebom berani mati, kemudian meletupkan diri mereka berhampiran dengan mangsa yang sedang diselamatkan.
Letupan itu berlaku ketika wakil kerajaan Syria dan pembangkang mula bersidang di Geneva bagi rundingan damai pertama PBB.