China menggesa negara-negara terlibat supaya berhati-hati ketika mengambil sebarang tindakan bagi mengelakkan ketegangan di Semenanjung Korea daripada terus meruncing.
Gesaan tersebut dibuat melalui jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying dalam sidang media semalam, selepas Korea Selatan mengumumkan rundingannya dengan Amerika Syarikat (AS) tentang penempatan sistem Pertahanan Kawasan Terminal Altitud Tinggi (THAAD) dimulakan secara rasmi.
Menurut jurucakap itu, pendirian China dalam isu antipeluru berpandu adalah konsisten dan jelas, iaitu usaha sesebuah negara untuk memastikan keselamatan sendiri tidak seharusnya menjejaskan kepentingan keselamatan negara lain.
Walau bagaimanapun, penempatan sistem THAAD oleh Korea Selatan dan AS itu bakal meruncingkan lagi situasi di Semenanjung Korea dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada usaha menangani ketegangan semasa.