Kaitan virus Zika dengan mikroensefali dijangka akan diketahui dalam beberapa minggu ini. Walaupun dua jenis vaksin virus Zika telah dihasilkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan India, namun sekurang-kurangnya 18 bulan lagi diperlukan bagi memulakan ujian klinikal berkenaan. Demikian pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
Penolong Ketua Pengarah WHO, Marie Paule Gini dalam sidang media semalam berkata, pihaknya berdepan dengan beberapa cabaran dalam penyelidikan dan pembangunan disebabkan kekurangan pengetahuan tentang virus tersebut. Walau bagaimanapun, WHO telah mencapai kemajuan dalam hal ini berdasarkan pengalaman ketika menghadapi wabak Ebola.