Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Taiwan berakhir semalam apabila semua penduduk yang terputus hubungan kerana terperangkap di bawah runtuhan bangunan Wei Guan telah berjaya diselamatkan.
Gempa bumi yang berukuran 6.7 pada skala Ritcher melanda bandar Tainan, selatan Taiwan pada pagi 6 Februari lalu, mengakibatkan kemusnahan bangunan Wei Guan dan turut menimbus ramai penduduk yang tinggal di blok pangsapuri 16 tingkat itu.
Setakat pukul 4.20 petang semalam, terdapat 289 mangsa yang terperangkap ditemukan, antaranya 175 berjaya diselamatkan, manakala 114 lagi maut.
Dengan penambahan dua mangsa yang maut di kawasan lain, jumlah keseluruhan korban gempa bumi tersebut meningkat kepada 116 orang.