Utusan khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi isu Syria, Staffan de Mistura menyatakan bahawa tarikh baharu untuk memulakan kembali rundingan damai Syria pusingan baharu yang dijadualkan bermula Khamis lalu, akan ditetapkan hari ini.
Keputusan itu diumumkan kepada media selepas berakhirnya mesyuarat pasukan petugas akses kemanusiaan Kumpulan Penyokong Antarabangsa Syria (ISSG) di Geneva semalam.
Berkat konsensus yang dicapai pada Mesyuarat Menteri Luar ke-4 ISSG di Munich, Jerman, 12 Februari lalu, pihak-pihak bertelagah di Syria digesa supaya menghentikan peperangan dan memastikan rakyat di negara itu dapat menerima bantuan kemanusiaan.
Mistura dalam sidang media itu berkata, kedua-dua usaha tersebut sedang bergerak menuju ke arah yang betul.
Menurut beliau, tarikh baharu rundingan damai berkenaan akan ditetapkan selepas berbincang dengan Majlis Keselamatan PBB (UNSC).