Cari:
Lapan Perkara Tumpuan Sidang NPC, CPPCC
2016-02-25 17:24:57 CRI Cetak

Sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) dan Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) 2016 bakal diadakan di Beijing bulan depan. Wakil NPC dan anggota CPPCC dari pelbagai tempat di China akan berkumpul di Beijing untuk membincangkan hal ehwal negara. Antaranya, lapan perkara menjadi tumpuan perhatian ramai.

Pertama, Rancangan Lima Tahun ke-13 (FYP). Sidang pleno ke-5 Jawatankuasa Pusat ke-18 Parti Komunis China (PKC) telah membahas dan meluluskan rancangan tersebut yang menggariskan cetak biru pembangunan China untuk tempoh lima tahun akan datang. Tindakan yang akan diambil oleh kerajaan bagi mewujudkan matlamat yang ditetapkan boleh diketahui melalui kedua-dua sidang tahunan ini.

Kedua, membasmi kemiskinan. Matlamat mewujudkan masyarakat kaya yang menyeluruh tidak dapat dicapai sekiranya taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar, khususnya kawasan mundur tidak ditingkatkan. Untuk itu, kerajaan pelbagai tempat di China sedang berusaha sedaya upaya untuk membasmi kemiskinan.

Ketiga, pembaharuan dari segi pembekalan. Menggalakkan pembaharuan struktur pembekalan antara tindakan baharu untuk menyelaraskan dan menggerakkan perkembangan ekonomi dalam situasi "normal yang baharu". Peta garisan pembaharuan berkenaan telah diperincikan, dan pandangan serta cadangan mengenai kaedah pelaksanaannya akan dibentangkan dalam sidang tahunan kali ini.

Keempat, inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R). Sejak inisiatif B&R dikemukakan pada tahun 2013, lebih 60 buah negara terlibat dengan aktif untuk mewujudkan visi strategik tersebut. Sidang NPC dan CPPCC tahun ini turut akan menjadi platform sumbang saran untuk mencari kaedah membolehkan manfaat B&R dinikmati oleh lebih banyak negara dan rakyat.

Kelima, Undang-undang Amal. Draf semakan Undang-undang Amal telah diluluskan dalam sidang ke-18 Jawatankuasa Tetap ke-12 NPC pada 27 Disember tahun lalu. Pindaan yang dilakukan terhadap draf semakan ini menjadi tumpuan perhatian ramai, begitu juga pembaharuan mekanisme perundangan di China.

Keenam, pembaharuan sistem kehakiman. 2016 merupakan tahun penting bagi pembaharuan kehakiman di China, kerana tugas-tugas yang digariskan oleh kerajaan pusat perlu diselesaikan pada tahun ini dan tahun depan. Oleh itu, laporan Mahkamah Rakyat Tertinggi dan Badan Pendakwa Raya Rakyat Tertinggi menjadi perhatian ramai.

Ketujuh, pembangunan hijau. Masalah alam sekitar seperti jerebu dan air kumbahan kini semakin ketara di China. Dengan semakin meningkatnya kesedaran, memelihara alam sekitar telah menjadi konsensus orang ramai. Sidang tahunan NPC dan CPPCC tahun ini diharap dapat menjadi wadah untuk menggalakkan pembangunan hijau di China.

Dan kelapan, usaha antirasuah. Bagaimana China terus berjuang menghapuskan rasuah dan membentuk mekanisme antirasuah, turut menjadi tumpuan orang ramai.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China