Sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) yang bakal diadakan di Beijing pada awal bulan Mac ini menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Kedua-dua sidang tersebut dijangka akan mengeluarkan beberapa isyarat penting yang signifikan bagi pembangunan sosioekonomi, khususnya transformasi ekonomi negara ini.
Usaha mengatasi masalah kapasiti pengeluaran berlebihan antara lima tugas utama dalam pembaharuan China. Usaha itu tertumpu pada provinsi Hebei yang merupakan pengeluar satu perempat besi dan keluli negara ini. Pihak berkuasa tempatan menyasarkan pengurangan kapasiti pengeluaran besi sebanyak 10 juta tan dan keluli 8 juta tan pada tahun ini.
Menurut Profesor Xu Yaotong dari Akademi Pentadbiran Negara, pengubahsuaian struktur ekonomi dan kaedah pembangunan perlu dipercepat. Sehubungan dengan itu, pembaharuan struktur pembekalan dijangka menjadi tumpuan dalam sidang tahunan NPC dan CPPCC ini.
Draf Rancangan Pembangunan Lima Tahun Ke-13 akan dibahaskan dalam sidang NPC tersebut. Rancangan itu, jika dapat diluluskan dan dilaksanakan dengan lancar, akan membawa peluang pembangunan yang lebih baik kepada China, malah dunia.
Sebagai entiti ekonomi kedua terbesar di dunia, China tetap enjin penting kepada pertumbuhan ekonomi global. Selepas menyaksikan pertumbuhan yang pesat pada beberapa dekad lalu, ekonomi China kini memasuki tahap "normal baharu" dengan kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi. Dalam pada itu, unjuran pertumbuhan ekonomi China dalam tempoh lima tahun akan datang serta inisiatif kerajaan bagi mendorong transformasi ekonomi menjadi tumpuan media.
Pada bulan Oktober tahun lepas, kerajaan China mengemukakan konsep pembangunan yang berlandaskan inovasi, koordinasi, hijau, terbuka dan berkongsi, dengan inovasi sebagai teras. Dengan galakan kerajaan, skim keusahawanan dan inovasi dalam kalangan rakyat dilaksanakan dengan rancak di China. Lebih 12 ribu buah syarikat didaftarkan di negara ini setiap hari pada tahun lepas.
Lima tahun akan datang merupakan tempoh penting bagi pembangunan masyarakat kaya yang menyeluruh di negara ini. Dalam pada itu, China tetap berhadapan dengan pelbagai cabaran bukan sahaja ketidaktentuan ekonomi global, tetapi juga masalah struktur ekonomi dalam negeri. Langkah-langkah bagi menangani cabaran tersebut dijangka menjadi fokus dalam sidang tahunan NPC dan CPPCC ini.