Dengan latar belakang prospek pemulihan ekonomi global masih suram dan sering berlaku turun naik dalam pasaran antarabangsa pada masa ini, keyakinan terhadap pasaran perlu dikukuhkan untuk menjana pembangunan dunia. China tetap salah satu sumber keyakinan yang paling penting di dunia.
China, yang mengalami pembangunan pesat dalam tempoh lebih 30 tahun lalu, sedang berhadapan dengan cabaran daripada transformasi ekonomi dan pemulihan ekonomi dunia yang lemah. Menjelang sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC), China sekali lagi menjadi tumpuan media massa antarabangsa, yang majoritinya tetap optimistik terhadap prospek pembangunan negara ini.
Chen Gang, Felo Kanan dari Institut Asia Timur, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) menyatakan bahawa kini, ekonomi China sedang berada dalam tempoh penting transformasi, yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dan pembezaan industri semakin ketara. Namun peralihan kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan peringkat tinggi masih diteruskan, manakala penggunaan rakyat meningkat besar.
Chen menegaskan bahawa hala tuju dasar pembaharuan dan pintu terbuka China adalah tepat dan pelaksanaannya berkesan. Langkah-langkah kerajaan untuk memperluas permintaan domestik, mempercepat pembaharuan sistem pembekalan serta meningkatkan keterbukaan kewangan dan inovasi industri telah membuahkan hasil. Kini, pertumbuhan ekonomi China lebih berkualiti, strukturnya lebih munasabah, kebergantungan pada perdagangan dan pelaburan asing berkurang, dan pengantarabangsaan renminbi (RMB) mengorak langkah yang penting.
Penolong Setiausaha Perbendaharaan AS bagi hal ehwal antarabangsa, Nathan Sheets dalam rencananya baru-baru ini menyatakan bahawa transformasi akan mengukuhkan kedudukan China sebagai pemangkin permintaan global. Pihaknya mahu menyaksikan kejayaan transformasi ekonomi China kerana hal ini menguntungkan semua.
Bekas ketua ahli ekonomi Bank Dunia, Justin Yifu Lin baru-baru ini telah menjelaskan potensi China untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Menurut beliau, China mempunyai banyak peluang pelaburan yang baik dan sokongan kewangan yang mencukupi untuk membuat pelaburan infrastruktur.
Selain itu, China mengamalkan dasar luar yang mengutamakan kerjasama menang-menang, yang bukan sahaja bermanfaat bagi pembangunan negara lain, tetapi juga pembangunannya sendiri. Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) yang ditubuhkan atas inisiatif China sudah mula beroperasi, manakala pelaksanaan inisiatif China untuk membangunkan "Jalur dan Laluan" sedang dipercepat. Kesemua inilah yang menjadikan China salah satu sumber keyakinan terpenting di dunia.